Peniaga Palestin Tertekan Oleh Polisi Jahat Zionis

AL-QUDS, 25 Nov 2015 (Silwanic | Maan) — Peniaga Palestin di Al-Quds kini menanggung kesan perit di atas tindakan pihak perbandaran Zionis mengenakan pelbagai bentuk cukai dan denda ke atas mereka, di samping kesan langsung dari serangan tentera ke atas penduduk Palestin.

Semalam, petugas perbandaran Zionis memasuki beberapa buah kedai di kejiranan Ras Al-Amoud, Bi’er Ayoub dan Ein Al-Lozeh di Silwan, untuk memeriksa pendaftaran dan permit perniagaan.

Izz Eddin Abdelrahim Barbar, seorang penjual buah-buahan, dikenakan denda sebanyak 5,000 shekels (RM5,500) kerana meletakkan bekas habuk rokok di atas meja di dalam kedainya di kejiranan Ras Al-Amoud. Seorang lagi didenda 1,000 shekels kerana merokok di dalam kedai.

Manakala bagi peniaga Palestin di perkampungan al-Issawiya, mereka kini berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius kerana sering terpaksa menutup kedai untuk mengelakkan didenda tanpa alasan munasabah oleh pihak perbandaran. Ada yang disaman kerana meletakkan kotak kosong di hadapan kedai, bahkan ada yang disaman kerana papan tanda kedainya tidak menjelaskan secara tepat tentang barangan yang dijual.

Tindakan tentera Zionis yang kerap menyerang jalan-jalan dan rumah penduduk di al-Issawiya mengeruhkan lagi keadaan. Laluan juga sering ditutup dengan blok simen, di mana penduduk terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan yang lama dan rumit. Langkah ini juga membuatkan pembekal dari Tebing Barat sukar untuk menghantar barangan kepada pekedai.

Kesan ekonomi ini tiba pada ketika penduduk Al-Quds sedang berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi, bahkan bakal kehilangan hak atau permit untuk menetap di Al-Quds sekiranya gagal membayar cukai.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts