ISTANBUL, 27 Disember – Kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmara yang telah diserang dan dirampas oleh pasukan komando Israel pada 31 Mei lalu di perairan antarabangsa ketika membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah kembali ke pelabuhan Sarayburnu di Istanbul pada Ahad (26/12).
Ribuan warga Turki telah berkumpul di pelabuhan di Istanbul untuk menyambut kepulangan kembali kapal Mavi Marmara yang telah menjadi saksi atas kekejaman Israel membunuh 9 orang aktivis Turki manakala 54 aktivis mengalami kecederaan dalam tragedi 31 Mei tersebut.
Orang ramai melambai-lambaikan bendera Palestin, Turki dan gambar aktivis yang telah syahid sambil meneriakkan “Allah Yang Besar!” di pelabuhan Sarayburu Istanbul. Beberapa aktivis mengiringi kapal tersebut dengan bot kecil dan perahu untuk menyambut ketibaan Mavi Marmara memasuki pelabuhan.
Upacara penyambutan diadakan oleh Yayasan Hak Asasi Manusia dan Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) Turki.
Ribuan manusia dari seluruh Turki, aktivis keamanan dari 50 negara dan wakil-wakil dari organisasi bukan kerajaan telah menghadiri upacara tersebut.
Mavi Marmara belayar dari Turki untuk membawa bantuan kemanusiaan kepada warga Gaza pada 22 Mei 2010 lalu yang turut disertai relawan dari Malaysia.
Turki menuntut permintaan maaf dan pampasan dari kerajaan haram Israel, namun Israel enggan berbuat demikian. (wbn)