Serangan Mavi Marmara: Tiada Pampasan, Enggan Mohon Maaf

Dalam satu laporan menyatakan bahawa Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Negara haram Israel, telah mencadangkan membayar pampasan kepada waris keluarga aktivis Turki yang terbunuh dalam serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara sebagai imbalan atas bantuan Turki untuk melindungi angkatan laut Israel daripada tuntutan undang-undang antarabangsa, demikian kata para pegawai Israel.

Dalam draf cadangan tersebut menawarkan sekitar $ 100.000 untuk setiap keluarga dari sembilan aktivis pro-Palestin yang ditembak mati oleh komando Israel yang menaiki dan menceroboh kapal bantuan kemanusiaan Marmara Mavi pada 31 Mei lalu di atas perairan antarabangsa.

Walaubagaimanapun,  Benjamin Netanyahu membantah laporan yang menyatakan sedemikian.

Kerajaan Turki secara rasmi telah mendesak Israel agar memohon “kemaafan” secara rasmi atas kejadian tersebut. Ahmet Davutoglu, Menteri Luar Negeri Turki, menggambarkan bahawa draf tawaran Israel itu sebagai “spekulatif” dan mengatakan tuntutan kerajaannya tidak berubah.

Turki setakat ini menolak meneruskan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel sehinggalah menerima permintaan maaf secara rasmi dari Israel atas serangan dan tindakan tentera mereka, yang sehingga kini kes tersebut masih dalam siasatan oleh PBB dan Israel sendiri.

Menurut media Israel pula, beberapa pegawai Israel menentang untuk sebarang permohonan “kemaafan” atas kematian dalam serangan 31 Mei itu, sebaliknya mengatakan Israel hanya perlu menyatakan “penyesalan” atas tragedi pertumpahan darah tersebut.

“Kami membuat tawaran pampasan, dan meminta Turki untuk melakukan apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah-masalah undang-undang kami. Kami juga ingin melihat kembalinya duta mereka dan membolehkan kami menghantar kembali duta baru kami ke Ankara,” kata seorang pegawai Israel.

Dalam satu pertemuan di Geneva, kedua-dua belah pihak menyusun sebuah rancangan perjanjian untuk menamatkan krisis mendalam antara kedua-dua pihak untuk disampaikan kepada para pemimpin kedua-dua negara tersebut.

Sebelum itu Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki, berkata; “Jika ada pihak yang ingin memulakan perbincangan baru, saya ulangi, mereka harus menerima kesalahan mereka, meminta maaf dan membayar pampasan . Saya juga katakan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Gaza perlu dihentikan.”

Sebagai respon terhadap serangan ke atas kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu, Ankara telah memanggil pulang duta besarnya dari Tel Aviv dan membatalkan latihan tentera bersama. Turki juga tidak membenarkan pesawat tentera Israel menggunakan ruang udara Turki.

Hubungan Israel-Turki sudah mula tegang semenjak serangan Israel yang menghancurkan Gaza , Erdogan sering membidas Israel dan membela Hamas. (ANC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts