AL-KHALIL, 3 Okt 2016 (PIC) — Tentera penjajah Zionis menutup Masjid Ibrahimi kepada para jemaah serta mengadakan kawalan ketat di sekitarnya sebagai persiapan menyambut perayaan Yahudi, Rosh Hashanah.
Para jemaah Islam dilarang memasuki masjid tersebut selama enam hari iaitu pada 3, 4, 6, 12, 18 dan 19 Oktober. Sebaliknya, pendatang Yahudi akan dibenarkan masuk pada hari-hari tersebut.
Di samping itu, tentera juga mengharamkan laungan azan menggunakan pembesar suara dan mengenakan pemeriksaan ketat dan menyeluruh ke atas para jemaah di pintu-pintu masuk masjid.
Penduduk yang berumur di antara 15 dan 30 tahun dilarang memasuki masjid. Beberapa bulan lalu, pihak rejim memberi arahan supaya menembak para jemaah dari golongan tersebut yang cuba masuk.
Menurut Pengarah Masjid Ibrahimi, Sheikh Hefdhi Abu Esneineh, kini tidak lebih dari lima orang dapat mengerjakan solat Subuh berjemaah di situ. Pada waktu Zuhur pula, bilangan jemaah tidak lebih dari 25 orang.
Penduduk Palestin dari bandar atau perkampungan berdekatan tidak lagi dapat berkunjung ke Masjid Ibrahimi kerana diugut bunuh dan diserang oleh tentera penjajah.