Turki dalam laporannya berkenaan serangan ke atas Mavi Marmara menyatakan, “adalah menjadi prinsip teras undang-undang antarabangsa bahawa apabila sebuah negara mencabul tanggungjawab antarabangsanya, ia harus bersedia membetulkan kesalahannya dan menjelaskan ganti rugi.” Laporan berkenaan diserahkan kepada panel siasatan pada 1 September 2010 atas permintaan khusus oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon.
“Antara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan adalah, “Tentera Israel melakukan serangan pada dinihari 31 Mei 2010 ke atas konvoi 6 kapal yang membawa penumpang dari pelbagai agama, mewakili NGO dari 37 negara serta sarat dengan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Serangan berkenaan dilakukan di kawasan perairan antarabangsa, 72 batu nautika dari perairan Israel. Ia mengakibatkan kematian 9 dari 600 penumpang, 8 daripadanya rakyat Turki, seorang rakyat Amerika berketurunan Turki dan 40 orang lagi cedera.Kesemua penumpang kapal berkenaan adalah orang awam.”
“Pemeriksaan keselamatan lengkap, kawalan passport dan keselamatan kapal berkenaan yang berlepas dari Turki telah dilakukan mengikut undang-undang. Kesemua penumpang kapal-kapal berkenaan, barangan peribadi mereka, dan stok bantuan kemanusiaan yang dibawa juga telah melalui pemeriksaan yang rapi. Tiada senjata api mahupun apa jua bentuk senjata telah ditemui. Pelabuhan Turki di mana konvoi kapal berkenaan memulakan perjalanan mereka juga berdaftar di bawah International Ship and Port Facility Security Code (ISPS) kendalian Organisasi Maritim Antarabangsa.”
“Tentera Israel diiringi kapal perang, helikopter, dan kapal selam bersenjata lengkap dengan mesingan, senapang berpandu laser, pistol dan senapang paintball yang diubahsuai. Mereka melepaskan tembakan dari helikopter menggunakan peluru hidup dan membunuh 2 penumpang sebelum mendarat ke atas kapal. Semasa serangan, kekerasan yang berlebihan, zalim dan melampau telah digunakan terhadap orang awam yang terlibat. Penumpang kapal hanya bertindak untuk mempertahankan diri tanpa senjata terhadap serangan bersenjata Israel.”
Laporan itu juga menyatakan, “apabila tentera Israel mengambil alih kapal,mereka terus-terusan menggunakan keganasan dan mendera fizikal serta psikologi penumpang yang ditawan. Mereka dipukul, disepak, disiku, tidak dibenarkan makan atau minum, digari, didedahkan kepada panas matahari selama berjam-jam lamanya, disekat daripada menggunakan tandas serta dicaci dan dimaki.”
“Layanan yang memalukan”
“Setelah sepuluh jam belayar ke pelabuhan Ashdod di Israel, kebanyakan penumpang masih lagi digari. Sesetengah daripada mereka ditelanjangkan manakala penumpang perempuan pula dimalukan; seorang daripada mereka, seorang wartawan diarahkan berbogel berulang kali dan sebuah ‘metal detector’ diletakkan di celah kelangkangnya. Mereka tidak diberikan makanan yang mencukupi dan terpaksa berasak dalam ruangan yang sempit dan panas.”
“Pihak berkuasa Israel merampas kesemua barangan peribadi penumpang. Selain dirampas, bahan-bahan bukti penting berkenaan serangan berkenaan juga dirosakkan atau dimusnahkan,” katanya lagi.
“Mayat-mayat penumpang yang terbunuh dicuci dan dihantar pulang ke Turki tanpa apa-apa laporan perubatan atau bedah siasat. Bahkan, sebelum dipulangkan semula selepas 66 hari ditahan di Ashdod, kapal Mavi Marmara telah dicuci seluruhnya, kesan-kesan darah ditanggalkan dan lubang-lubang peluru dicat semula. Semua rekod kapal, log Kapten, hardware komputer dan dokumen berkaitan dirampas, kamera CCTV dimusnahkan dan semua rekod fotografi dirampas dan mungkin dimusnahkan.”
“Seksaan”
Laporan tersebut menegaskan bahawa pembunuhan 9 penumpang (orang awam) Mavi Marmara adalah pencabulan jelas terhadap hak untuk hidup yang diisytiharkan oleh Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) yang mana Israel menjadi anggotanya sejak 1991. Undang-undang antarabangsa juga telah dicabul melalui layanan tidak berperikemanusiaan yang diberikan oleh tentera dan pihak berkuasa Palestin ke atas penumpang yang cedera dan terselamat semasa di atas kapal dan di pelabuhan Ashdod.
Tambahan pula, tindakan-tindakan berkenaan jelas menyalahi larangan menyeksa dan layanan buruk di bawah Artikel 7 ICCPR dan Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) yang mana Israel juga menjadi anggotanya. Ia juga mencabuli Artikel 3, European Convention on Human Rights (ECHR) .Antara tindakan tersebut adalah melakukan penyeksaan, merendahkan maruah penumpang, menyekat hak asasi dan kebebasan manusia secara paksa termasuk hak peribadi dan kesihatan fizikal serta mendera secara fizikal dan psikologi.
Serangan Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan di kawasan perairan antarabangsa jelas mencabuli kebebasan dan keselamatan pelayaran di lautan terbuka. Kebebasan belayar di lautan terbuka adalah sebuah peraturan yang telah lama termaktub di dalam undang-undang antarabangsa, iaitu Konvensyen Lautan Terbuka 1958 dan The 1982 United Nations Law of the Sea Convention. Salah satu komponen dalam kebebasan belayar di lautan terbuka adalah pengecualian kuasa undang-undang negara.
“Undang-undang antarabangsa ke atas pencerobohan kapal”
Laporan tersebut mengingatkan kepada larangan terhadap kapal perang untuk merampas kapal asing dan harta bendanya seperti termaktub dalam Konvensyen 1958 dan 1982 kecuali ia adalah kepunyaan lanun.
Mengikut Manual San Remo, kapal yang terlibat dalam misi kemanusiaan, termasuk kapal yang membawa bekalan adalah kebal dari diserang. Kapal Mavi Marmara dan kapal konvoi lain kesemuanya membawa bantuan kemanusiaan untuk survival Gaza. Jelas sekali, Israel gagal memenuhi peraturan di lautan terbuka.
Sekatan ke atas perairan Gaza yang dikenakan oleh Israel juga menyalahi prinsip undang-undang antarabangsa sepertimana tertulis dalam Manual San Remo berkenaan sekatan. Sekatan ini meluaskan penguasaan dan objektif ketenteraan Israel serta membawa implikasi yang buruk kepada populasi orang awam sepertimana yang telah diketahui oleh agensi PBB dan dunia. Suruhanjaya Keselamatan PBB, OCHA, Program Makanan Sedunia (World Food Programme), ICRC, Bank Dunia, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, UNHCR dan UNDP kesemuanya memperihalkan keadaan di Gaza sebagai daif, tidak boleh diterima serta tak mampu bertahan.
Pelbagai pihak bersetuju bahawa sekatan ke atas Gaza menyalahi undang-undang dan wajib dihentikan, sambil menyifatkannya sebagai “hukuman kolektif terhadap orang awam.Ia juga dianggap tidak sah kerana tiada kenyataan pasti tentang tempoh dan had sekatan. Israel hingga kini kekal sebagai kuasa penjajah di Genting Gaza. ”
Laporan itu menyimpulkan, “akhirnya,adalah menjadi prinsip undang-undang antarabangsa bahawa apabila sebuah negara mencabuli tanggungjawab antarabangsanya, ia wajib bertanggungjawab membaiki kesalahannya dan membayar atas kerugian yang dicipta.”
Tambahnya lagi, “Kes ini menjadi ujian yang kritikal kepada komuniti antarabangsa dalam menegakkan martabat undang-undang. Tiada negara sepatutnya dibenarkan bertindak melampaui undang-undang. Akauntabiliti harus dilaksanakan. Israel wajib menyedari tanggungjawabnya dan menyampaikan ucapan maaf kepada Republik Turki serta membayar segala ganti rugi yang terhasil akibat serangannya.”