[WAWANCARA] Insafi Permasalahan Umat Islam Melalui Ramadan Bersama Huffaz

SHAH ALAM, 18 Jun 2015 (BHP) — HALUAN Malaysia buat kali kelima menganjurkan program Ramadan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Kemboja. Di samping memangkin penghayatan masyarakat terhadap al-Quran di sepanjang bulan yang mulia ini, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap permasalahan umat Islam dan seterusnya berusaha membantu mereka.

Sambil menegaskan kepentingan umat Islam menggandakan ibadah, mengeratkan persaudaraan dan ringan menghulurkan derma, Hj Ahmad Shahbuddin Abu Bakar selaku pengarah program menjawab beberapa persoalan penting berkaitan objektif dan sasaran program Ramadan Bersama Huffaz. Beliau mengulas ketika diwawancara wakil MediaHALUAN, Umar Ismail, di pejabat operasi di sini semalam.

Berikut adalah teks wawancara tersebut:

MUKADIMAH UMAR:
Setelah empat kali menganjurkan program Ramadan Bersama Huffaz, HALUAN Malaysia tahun ini membawa 21 orang imam dari Palestin, Syria dan Kemboja bagi memenuhi aktiviti yang disusun sepanjang bulan yang mulia ini. Pengalaman pada tahun-tahun lalu telah meninggalkan inspirasi baharu bagi masyarakat kita untuk lebih prihatin tentang permasalahan masyarakat dan umat Islam, termasuklah apa yang sedang berlaku ke atas Masjid al-Aqsa.

SOALAN:
Masyarakat kita menunggu-nunggu kehadiran Ramadan untuk meraih pahala dan keampunan dari Allah SWT. Masjid dan surau menjadi tumpuan masyarakat untuk mendirikan solat terawih, program qiamullail, membaca al-Quran dan seumpamanya. Tetapi dari sudut yang lain, bolehkah Tuan Haji jelaskan bagaimana masyarakat kita sepatutnya menyentuh permasalahan umat Islam di bulan yang mulia ini?

Ahmad Shahbuddin
Ahmad Shahbuddin

AHMAD SHAHBUDDIN:
Alhamdulillah, kita dapat bertemu kembali dengan bulan Ramadan. Setiap kita inginkan supaya bulan Ramadan kali ini menjadi lebih baik dan berkualiti dalam semua aspek. Salah satu indikator kualiti tersebut, selain daripada rajin beribadah kepada Allah SWT, adalah sejauh mana kita peduli kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Bagaimana tidak? Kita merasa lapar dan haus sepanjang bulan Ramadan ini, tetapi kita juga perlu insaf bahawa masih ramai saudara kita yang lebih lapar dan lebih haus selama berbulan-bulan, mereka terpaksa tinggal dalam keadaan perit di kem dan kemah pelarian. Rakyat Gaza contohnya, mereka masih dikepung sejak sembilan tahun lalu, ditambah lagi musim panas yang luar biasa. Begitu juga dengan anak-anak yatim Syria, masih ada yang terpaksa berpindah dari kemah ke kemah yang lain demi meneruskan kehidupan.

Jika kita di sini berbuka puasa dengan berbagai juadah yang dibeli dari bazar Ramadan, anak-anak di Syria terpaksa meneruskan puasa dalam keadaan diserang dan sakit. Jika anak-anak yatim di tempat kita mendapat tajaan berbuka di hotel dan sebagainya, anak-anak yatim di Gaza pula terpaksa berbuka di bawah runtuhan rumah mereka.

Sedangkan Rasulullah SAW pernah berpesan sepertimana diriwayatkan oleh Muslim, bahawa perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka seluruh badan akan merasakan panas dan demam.

Tentunya selain doa dan infak, masih banyak usaha yang perlu kita lakukan untuk membantu umat Islam. Setiap amal yang dilakukan untuk menolong sesama Muslim merupakan salah satu indikasi keimanan seseorang.

Keluarga di Gaza berbuka di bawah runtuhan.
Keluarga di Gaza berbuka di bawah runtuhan.
Keluarga di Gaza berbuka puasa dalam keadaan rumah mereka masih musnah.
Keluarga di Gaza berbuka puasa dalam keadaan rumah mereka masih musnah.
Penduduk Gaza bersolat terawih di tanah lapang kerana masjid mereka musnah dalam serangan Zionis,
Penduduk Gaza bersolat terawih di tanah lapang kerana masjid mereka musnah dalam serangan Zionis,
Penduduk Syria di Douma, Damaskus diserang dengan bom kimia pada hari pertama Ramadan.
Penduduk Syria di Douma, Damaskus diserang dengan bom kimia pada hari pertama Ramadan.

SOALAN:
Apakah kehadiran para imam ini membawa berita saudara Islam kita di tempat mereka dan mengukuhkan tali persaudaraan?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Ya, selain daripada menjadi duta-duta al-Quran, mereka ini merupakan wakil-wakil saudara Islam kita di Palestin, Syria dan Kemboja yang membawa ikatan ukhuwwah. Bukan sahaja mereka akan menceritakan tentang apa yang berkalu di tempat mereka, tetapi apabila pulang nanti mereka juga akan menceritakan apa yang mereka lihat dalam masyarakat kita.

Bahkan mereka juga beranggapan program ini sebagai satu bentuk penghargaan atau balasan (reciprocate), ucapan terima kasih mereka di atas keprihatinan dan bantuan masyarakat Malaysia selama ini kepada mereka.

SOALAN:
Bagaimana mereka dipilih untuk menjadi imam dalam program ini?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Berpandukan kepada pengalaman tahun-tahun lalu, rakan NGO HALUAN yang beroperasi di tempat berkenaan, iaitu Al-Sarraa Foundation, memilih calon-calon yang memenuhi syarat asas yang telah kita tetapkan. Antaranya, mereka mestilah berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie.

Mereka ini adalah di antara ribuan huffaz Palestin dan Syria yang terbaik dalam bacaan al-Quran dan mahir dalam ilmu al-Quran, termasuklah tajwid. Majoriti mereka adalah lepasan universiti dalam jurusan deeniyah dan mempunyai kelulusan dalam bidang tajwid dan juga perbandingan kaedah bacaan al-Quran.

Kemudian wakil HALUAN sendiri hadir menemu duga dan menilai mereka, seterusnya memilih siapa yang akan di bawa ke Malaysia.

SOALAN:
Tidakkah usaha membawa mereka ke sini hanya membazirkan wang? Apakah huffaz tempatan tidak memadai?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Kita tidak melihat ini sebagai satu usaha yang membazir. Mereka ini semuanya adalah sukarelawan. Mereka datang dengan ikhlas demi menyebar kesedaran dan berkongsi kebaikan dengan kita di Malaysia tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

Sebenarnya kehadiran mereka bersama kita adalah suatu rezeki atau ganjaran yang sangat besar yang dikurniakan Allah sempena Ramadan. Dengan kesempatan ini, kita dapat menghayati permasalahan umat Islam dengan lebih dekat. Kita boleh berinteraksi dengan mereka secara langsung, bagi memahami isu sebenar berkaitan Palestin, Syria dan Kemboja.

Mereka juga boleh melihat keadaan kita secara langsung, supaya terserlah kekurangan mahupun kekuatan yang ada pada masyarakat Malaysia dalam memahami permasalahan di tempat mereka dan seterusnya membantu mereka dengan prioriti yang betul. Kehadiran mereka secara fizikal ini sudah tentu dapat mencabar kesungguhan kita dalam menghayati kepayahan hidup orang lain yang ditindas dan dicabar keimanan, juga yang hidup dalam kemiskinan, dan bagaimana mereka boleh mampu berhadapan dengan cabaran atau masalah tersebut.

Kehadiran para huffaz ini tidak bermaksud huffaz tempatan tidak memadai, bahkan kita juga perlu kepada huffaz tempatan, Anak-anak tempatan juga memiliki kemahiran ilmu al-Quran yang tinggi. Alangkah baiknya semua mereka ini kita gandingkan bersama, semoga kesempatan Ramadan yang sekejap ini dapat kita manfaatkan dengan cara terbaik.

Lazimnya, sesebuah masjid atau surau hanya mendapat peluang bersama huffaz Palestin, Syria atau kemboja ini sekali sahaja sepanjang Ramadan. Huffaz tempatan boleh memimpin aktiviti ibadah di malam-malam yang lain, Insha Allah.

SOALAN:
Adakah program-program selain solat tarawih & tazkirah?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Agenda utama mereka adalah untuk bersama masyarakat Islam di sini dalam solat terawih, di mana mereka juga bersedia untuk berkongsi tazkirah pendek berkenaan keadaan umat Islam di tempat mereka.

Bergantung kepada lokaliti masing-masing, ada juga program-program lain yang disusun seperti mengadakan tazkirah Subuh atau Zuhur, atau sebelum berbuka puasa. Malahan ada juga program-program berbentuk lawatan ke agensi atau NGO berkaitan, pengajian al-Quran, qiamullail dan sebagainya.

Salah seorang huffaz menyampaikan kuliah.
Salah seorang huffaz menyampaikan kuliah.

SOALAN:
Difahamkan HALUAN juga membuat kutipan di sepanjang program ini. Sumbangan ini akan diguna untuk apa?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Masyarakat kita sangat dermawan, terutama sekali di bulan Ramadan. Jadi kami sekadar memudah cara keinginan dan niat baik kaum muslimin yang ingin membantu saudaranya yang sangat memerlukan. Semoga kita semua dapat memberi rezki terbaik untuk meringankan beban mereka.

HALUAN memberi fokus kepada empat kategori utama dalam membantu rakyat Palestin dan Syria , iaitu 1) sektor pendidikan, 2) sektor kesihatan, 3) bantuan untuk pelarian, anak yatim dan keluarga miskin, dan 4) bantuan kecemasan dan pasca serangan.

Untuk itu, wang sumbangan akan digunakan untuk pembangunan atau pembaikan institusi pendidikan dan kemudahan kesihatan, antaranya:
1) Pembinaan prasarana hospital bedah dan pakar saraf di Rafah, Gaza,
2) Membekal peralatan rawatan dan ubat-ubatan untuk Pusat Rawatan Kanser Al-Huda di Al-Rimal Tal-Islam, Gaza,
3) Membantu kos operasi klinik untuk pelarian Syria di Sakan Karomah di sempadan Jordan,
4) Membantu kos operasi pengajian Al-Quran di Darul Quran Wal Sunnah di Gaza.
5) Menaja kos operasi pusat pendidikan dan aktiviti anak yatim Syria-Palestin di Kem Pelarian Ein El-Hilwah di Saida, Lubnan,
6) Menaja sara hidup 30 orang pelajar Palestin dari Gaza, Al-Quds dan Tebing Barat yang mengambil bidang perubatan universiti-universiti di Sudan,
7) Menaja beberapa orang pelajar Palestin melanjutkan pelajaran tinggi di Malaysia melalui program bantuan pelajaran Tabung Palestin HALUAN,
8) Membekal dan memasang alat bantuan pendengaran untuk pelajar cacat pendengaran akibat serangan bom, termasuk mengadakan program terapi pertuturan dan pendengaran,
9) Membina telaga tiub Kem pelarian di Ghoutah Timur dan sekitar Damaskus, Syria. 16 buah telaga telah beroperasi, dan
10) Menaja kos sara hidup anak dan keluarga yatim Palestin–Syria di Gaza, Lubnan dan Syria.

Di bulan Ramadan, kita juga mengadakan program bantuan paket makanan dan bekalan berbuka puasa ke kem-kem pelarian di Gaza, Syria, Lubnan dan Iraq. Masyarakat Malaysia juga bersama-sama menaja majlis berbuka puasa di Masjid al-Aqsa.

Di Kemboja, kami memberi fokus kepada pendidikan anak-anak masyarakat Islam di sana.

SOALAN:
Bagaimana bantuan ini disampaikan?

AHMAD SHAHBUDDIN:
HALUAN bekerjasama erat dengan NGO tempatan di Syria, Lubnan dan Gaza kerana mereka lebih memahami realiti dan permasalahan di sana. Amanah wang masyarakat Malaysia yang disalurkan melalui HALUAN disampaikan secara langsung melalui kerjasama dua NGO utama iaitu
1) Al-Sarraa Faoundation bagi menyampaikan bantuan di dalam Syria, Gaza, kem pelrian di Lubnan dan juga al-Quds.
2) Islamic Center Charity Society (ICCS) membantu agihan untuk pelarian Syria di Lubnan dan mengoperasi klinik kesihatan di Sakan Karomah.

Pembinaan infrastrukur di Gaza diselengara oleh Al-Sarraa Foundation dengan pemantuan Kementerian Wakaf Palestin.

Relawan HALUAN, dengan kerjasama beberapa NGO lain termasuk Al-Agial Generations for Relief and Development, juga mengagihkan sendiri bantuan bagi pelarian Syria-Palestin di sempadan Turki.

Projek-projek di Kemboja dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Kemboja.

SOALAN:
Bagaimanakan masyarakat boleh menyumbang. Bolehkan mereka hulurkan terus melalui imam-imam ini?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Iman-imam ini tidak ditugaskan untuk mengutip sumbangan.

Jadi semua bantuan atau sumbangan harus disalurkan melalui tabung-tabung kutipan HALUAN, atau terus ke akaun

Tabung Palestin HALUAN
BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528

atau

Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Maybank: 5622-6350-2611

SOALAN:
Bagaimana masyarakat kita boleh pastikan sumbangan mereka sampai ke penerima sebenarnya?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Wakil-wakil HALUAN menyampaikan sumbangan secara terus kepada rakan NGO tempatan dan memantau projek serta pengagihan bantuan. Semua transaksi dibuat secara telus dan rasmi, melalui penyerahan resit dan laporan kewangan.

Bantuan juga disampaikan secara terus kepada sasaran penerima melalui misi-misi kemanusiaan ke Palestin dan kem-kem pelarian di luar Palestin. InshaAllah laporan perkembangan projek-projek bantuan ini diumumkan melalui laman web HALUAN Palestin untuk makluman semua masyarakat.

SOALAN:
Berapa peratus HALUAN ambil daripada wang sumbangan untuk tujuan pengurusan?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Secara dasarnya, HALUAN menetapkan had maksimum 10%. Namun ianya bukanlah satu hak yang boleh diambil secara tetap. Wang tersebut hanya diambil mengikut keperluan, seperti untuk pengurusan menghantar bantuan. Sungguhpun begitu, HALUAN setakat ini hanya mengambil kurang daripada 9%.

Bagaimana kami boleh menghadkan penggunaan wang pada tahap minima? HALUAN beroperasi dengan bergantung 100% kepada relawan yang menggunakan masa, tenaga dan daya pemikiran secara percuma. Kami juga memastikan rakan NGO di lapangan mengguna pakai prinsip yang sama.

SOALAN:
Bukankah masyarakat miskin di Malaysia lebih layak (utama) menerima bantuan kita?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Benar. Biro HALUAN Palestin ditubuhkan khusus bagi menangangi isu Palestin, termasuklah permasalah pelarian di negara-negara sekitarnya. Tetapi HALUAN juga mempunyai banyak lagi biro-biro lain yang memberi fokus kepada permasalahan masyarakat kita di negara sendiri.

Sebagai contoh, HALUAN juga mengendalikan asrama anak yatim dan miskin di Bukit Naga, Shah Alam, dan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk projek pembangunan kampung miskin di Bachok, Kelantan dan Kunak, Sabah.

SOALAN:
Bagaimana masyarakat boleh hubungi pihak penganjur untuk mengadakan program di tempat mereka?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Masyakarat awam, samada mewakili masjid, surau, sekolah, agensi kerajaan mahupun swasta, boleh hubungi wakil-wakil tempatan.

Pejabat operasi program ini adalah di Shah Alam dan boleh dihubungi melalui talian 03-51660599 atau 012-9547861 (En Mus’ab).

SOALAN:
Akhir sekali, apa harapan Tn Hj daripada program ini?

AHMAD SHAHBUDDIN:
Semoga amanah dalam melaksanakan program ini mendapat dokongan dan nasihat semua pihak agar objektif yang digariskan tercapai. Kepada Allah SWT kita memohon agar semua amalan kita dirahmati dan diberkati.

Memikul amanah masyarakat Malaysia untuk saudara kita di Palestin serta Syria bukanlah suatu yang ringan. Setiap perkiraan kami akan dihitung di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Apatah lagi amanah itu adalah untuk anak-anak yatim, keluarga miskin dan orang yang dizalimi.

Tetapi ianya adalah amanah yang harus kita laksanakan bersama. Jadi saya bagi pihak HALUAN memohon kemaafan atas apa jua kekurangan dan kelemahan. Bagaimanapun, Insha Allah kami melaksanakannya dengan cara terbaik.

Marilah kita berdoa agar Allah SWT menganugerahkan kita kebaikan dan rahmat daripada Ramadan ini.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts