Zionis Bina Sekolah Agama Yahudi Di Tengah Al-Quds Timur

jarrahBETHLEHEM, 28 Ogos 2014 (Ma’an) — Pihak perbandaran rejim Zionis di Al-Quds telah meluluskan rancangan untuk membina sebulah sekolah agama Yahudi di tengah kawasan komersial di wilayah timur Al-Quds.

Rancangan tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan enam bulan lalu, dan mendapat kebenaran memulakan kerja pembinaan semalam. Menurut laporan akhbar Haaretz, sekolah tersebut atau Ohr Somayach Yeshiva, akan mengadungi sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat di atas sebidang tanah seluas 1,900 meter persegi di tengah-tengah kejiranan Sheikh Jarrah, termasuk tiga tingkat di bawah tanah.

Penduduk Sheikh Jarrah melahirkan kebimbangan bahawa pembinaan sekolah agama Yahudi ini, di samping perlaksanaan arahan pindah keluar ke atas penduduk Palestin, akan menukar kawasan tersebut menjadi sebuah kejiranan Yahudi yang baharu.

Tanah tapak pembangunan sekolah tersebut telah dirampas oleh rejim Zionis pada tahun 1980-an dengan manipulasi Undang-undang Harta Tidak Bertuan 1950, yang merupakan senjata utama bagi mereka merampas atau menjajah tanah Palestin.

Laporan Gabungan Sivik Hak Palestin di al-Quds pada tahun 2013 menyebut bahawa melalui undang-undang tersebut rejim Zionis merampas banyak harta dan tanah milik rakyat Palestin di Tebing Barat, di mana pemiliknya dikira sebagai “hilang atau tidak ada” selepas rejim Zionis merampas kawasan timur al-Quds.

Mac lalu pendatang Yahudi mula berpindah masuk ke sebuah bangunan di timur al-Quds setelah puak pelampau Yahudi, Ateret Cohanim, membeli sebahagian daripada bangunan tersebut. Bangunan yang terletak di tengah kawasan komersial yang sibuk tidak jauh dari tembok Bandar Lama itu kini dalam proses untuk ditukar menjadi sebuah pusat kegiatan agama Yahudi. Ateret Cohanim dilaporkan berusaha gigih bagi memindah seramai mungkin penganut Yahudi ke kawasan yang padat dengan penduduk Islam itu.

Kawasan timur al-Quds dirampas oleh tentera Zionis pada tahun 1967, kemudiannya secara haram dipisahkan dari Tebing Barat dan menjadi sebahagian daripada wilayah negara mereka.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts