BETHLEHEM, 17 Nov 2015 (Maan) — Tentera Zionis hari ini menutup dua buah kilang batu di perkampungan Juret al-Shamaa di selatan Bethlehem atas alasan keselamatan. 150 penduduk Palestin kehilangan pekerjaan berikutan tindakan tersebut.
Pemilik kilang Fawaghra Stone Factory, Ibrahim Fawaghra, dalam kenyataannya menyebut bahawa tentera Zionis menyerang perkampungan tersebut awal pagi ini dan memaksa pemilik dua kilang berkenaan menutup operasi kerana kononnya pemuda Palestin membaling batu ke arah tentera dari kawasan kilang tersebut.
Tentera Zionis memberitahu kepada pemilik bahawa kilang mereka tidak akan dibenarkan dibuka semula.
Kedua-dua kilang tersebut mempunyai seramai 150 orang pekerja, di mana mereka tidak akan mendapat sumber pendapatan lagi berikutan penutupan itu.
September lalu, Bank Dunia memberi amaran tentang risiko meningkatnya kemiskinan dengan meningkatnya konflik di wilayah Palestin yang terjajah. Sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis, ditambah lagi dengan berkurangnya bantuan luar dan penangguhan bayaran hasil negara yang dipegang oleh rejim, akan memberi kesan besar ke atas ekonomi Palestin.
Menurut data Bank Dunia, kadar pengangguran di Tebing Barat kini mencecah 16 peratus.