Lima anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 yang baru tiba di Selatan Lubnan dikhuatiri cedera akibat terkena serpihan letupan. Seorang lagi yang cedera merupakan anggota (MALBAT) 850-11.
Berdasarkan maklumat terkini dari Tentera Lubnan, kejadian berlaku ketika kenderaan membawa anggota Batalion Malbatt 850-12 melalui sekatan jalan raya Tentera Lubnan melalui Awali di Sidon, Lubnan. Tentera Lubnan juga turut memaklumkan tiga anggota mereka turut cedera.
Atur gerak pasukan Malbatt 850-12 yang membabitkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dilaksanakan secara berperingkat bermula 6 sehingga 18 November.