Atas rasa cinta dan tanggungjawab sesama Muslim, HALUAN telah melancarkan program Cinta Yatim Palestin-Syria pada tahun 2014 di mana anak-anak yatim terpilih menerima bantuan setiap bulan.
Program ini bertujuan menyalurkan bantuan sara hidup bagi membantu anak-anak ini mendapatkan keperluan asas, terutamanya susu, makanan dan ubatan. Insha Allah sumbangan bulanan ini dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dan menjadi pewaris di bumi anbiyak.
Semoga kita dapat mengambil pelajaran dari saranan Rasulullah SAW berkaitan sikap memuliakan anak-anak yatim, antaranya
Dari Sahl bin Sa’ad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku dan orang yang menanggung anak yatim di syurga seperti ini (Baginda mengisyaratkan kedua jari telunjuknya dan jari tengah sambil membuka keduanya).
[HR Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi]
Barang siapa yang mengikut sertakan seorang anak yatim di antara dua orang tua yang Muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk syurga.”
[HR. Abu Ya’la dan Tabroni]
Anak-anak yatim ini adalah mangsa peperangan di Syria yang kini berjumlah lebih daripada 70,000 orang. Majoriti daripada mereka adalah dari keluarga pelarian Palestin yang berlindung di Syria sebelum tercetusnya konflik.
Mereka kematian bapa, ibu atau ditinggalkan kerana peperangan. Mereka tinggal di merata tempat, terutama di kem-kem pelarian di sempadan Lubnan, Turki, Jordan dan juga di dalam wilayah Syria sendiri. Anak-anak ini tidak mengenal istilah “kenyang”, bahkan kadangkala terpaksa berlapar sepanjang masa.
Al-Sarraa Foundation, sebuah NGO yang dikendalikan oleh aktivis Rabitah Ulamak Palestin, telah mengenal pasti lebih 100 anak-anak yatim untuk dibiayai. Mereka kini berlindung di Kem Pelarian Ein El-Helwah di Lubnan.
Setiap anak yatim boleh dibiayai dengan hanya US$50 (atau RM250) setiap bulan. Tempoh minima pembiayaan adalah selama satu (1) tahun. Peserta boleh membiayai lebih daripada seorang anak yatim, ataupun berkongsi membiayai seorang anak yatim.
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) adalah sebuah NGO yang didaftarkan pada tahun 1989. Biro HALUAN Palestin memberi fokus kepada permasalahan Palestin melibatkan program kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia, projek bantuan kepada penduduk dan pelarian Palestin, serta kempen solidariti ke arah pembebasan bumi Palestin serta Masjid al-Aqsa yang penuh barakah.
Kenali Kami
Soalan Lazim
Hubungi Kami