Palestine Community Educare Center (PCEC)

Pusat pendidikan komuniti untuk kanak-kanak, remaja dan wanita pelarian Palestin di Lubnan.

Palestine Community Educare Centre (PCEC) terletak di dalam satu kawasan kem pelarian Ein el-Helwah, selatan Lubnan. Ia merupakan projek pendidikan  jangka panjang HALUAN di Lubnan.

Kem Ein El Hilweh terletak di selatan Saida di selatan Lubnan, terbina pada tahun 1948. Ia adalah kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan, awalnya dihuni oleh penduduk dari bandar-bandar pesisir Palestin yang dihalau meninggalkan tanah air mereka. Kem ini juga menempatkan sebilangan besar pelarian Palestin yang dipindahkan dari bahagian lain di Lubnan, terutama dari Tripoli, semasa perang saudara Lubnan dan selepas konflik Nahr el-Bared pada tahun 2007.

Krisis Syria yang berterusan juga menyebabkan kehadiran tambahan pelarian Syria dan Palestin dari Syria di kem tersebut.

Kem ini menempatkan sebilangan anak yatim dan juga anak-anak syuhada Palestin. Ramai daripada mereka adalah anak-anak yang menjadi pelarian kali kedua, iaitu terpaksa menyelamatkan diri dari Syria setelah sebelumnya menyelamatkan diri dari kekejaman rejim Zionis di Palestin.

Projek pusat pendidikan yang dimulakan pada tahun 2014 ini dahulunya dikenali dengan nama Markaz Tahfiz Al-Quran Palestin-Syria, Lebanon. Kini diberikan nama baharu iaitu Palestine Community Educare Centre (PCEC).

Susulan Misi Bantuan Musim Sejuk untuk pelarian Palestin & Syria pada tahun 2014, HALUAN melancarkan projek Cinta Yatim Palestin Syria. Ia adalah projek bantuan sara hidup kepada 100 orang anak yatim Palestin di kem Ein el-Hilweh. Pada 2019, HALUAN mengembangkan projek ini dengan menggiatkan operasi PCEC bagi menyantuni lebih ramai pelarian Palestin daripada pelbagai peringkat umur melalui agenda sokongan pendidikan.

Di sinilah tempat anak-anak pelarian Palestin menuntut ilmu agama dan mengenal jati diri. Di sinilah juga mereka belajar mendalami ilmu al-quran dan fardhu ain.

Bermula dengan dua kelas al-Quran dan fardu ain pada 2019, kini telah berkembang kepada empat buah kelas al-Quran dan fardhu ain, di samping aktiviti Kem Jati Diri dan Sahsiah, Kursus Kemahiran Kewanitaan dan juga ceramah-ceramah kesedaran.

Seramai 222 pelarian mendapat manfaat secara langsung daripada projek ini, melibatkan 157 kanak-kanak, 30 remaja dan belia, serta 35 wanita dewasa.

Masih terlalu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk pendidikan anak-anak Palestin di sini. Kami amat memerlukan sumbangan anda untuk projek ini. Teruskan salurkan sumbangan anda, wahai penderma yang budiman.

Pendanaan projek ini turut dibantu oleh Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd.