Pelan Pembangun Gaza : Taktik Promosi Rejim AS Dalam Menjaga Kepentingan Zionis


Tangkap layar yang disertakan bersama tulisan ini adalah salah satu pelan Trump dalam membangunkan semula Gaza. Pada hari ini diketahui bahawa pelan 20 poin oleh Trump ini dialu-alukan oleh Wisma Putra. Sefaham saya, ramai aktor bukan negara dah tolak dan mengkritik keras 20 poin Trump bagi pelan pembangunan Gaza. Tapi daripada banyak-banyak poin yang dikemukakan Trump pada dua hari lepas ini, poin ke-9 dalam pelan Trump ini yang saya mahu soroti lebih lanjut.

Bila pembangunan semula Gaza ada “international expert” yang dilibatkan dan dipantau oleh “international transitional body”, kemungkinan besar kerangka post-conflict reconstruction yang cuba diaplikasikan di Gaza adalah liberal statebuilding. Jelas bahawa badan peralihan antarabangsa yang dikepalai Trump mahukan di Gaza “the best international standard to create modern and efficient governance”, dengan kata lain ideologi jenis rejim yang cuba diaplikasikan oleh Trump untuk membangunkan negara Filistin secara keseluruhan adalah ideologi liberal sekular. Hal ini kerana dalam wacana post conflict reconstruction, kerangka liberal statebuilding ini adalah antara taktik promosi demokrasi oleh blok liberal Barat, baik yang digerakkan oleh aktor negara seperti AS dan institusi antarabangsa liberal seperti PBB.

Secara lalainya (by default), jenis rejim yang bukan demokrasi liberal takkan dipromosikan oleh kuasa-kuasa liberal Barat di wilayah yang mengalami konflik. Perkara ini terbukti dalam kes Afghanistan dan Iraq, negara-negara yang mana Washington terlibat dalam proses pembinaan semula negara-negara tersebut. Dalam kes Filistin kelihatannya begitu juga. Andai kata jenis rejim bagi negara baru Filistin yang diwujudkan adalah demokrasi liberal, negara Filistin yang baru tu berkemungkinan besar tidak akan bermusuh dengan AS dan Israel yang juga merupakan negara demokrasi liberal.

Secara teorinya, logik democratic peace akan wujud dalam hubungan antara Filistin dengan AS dan I$rael. Pelan Trump ini andai berjaya — kalau ikut logik democratic peace theory — nampak macam win-win, semua negara terlibat (AS, Israel & Filistin) gembira sebab tidak ada negara yang rasa terancam atau mahu bermusuh antara satu sama lain. Kerangka liberal statebuilding ini jugalah antara sebabnya kenapa anasir Islamis seperti Hms mahu dikeluarkan AS daripada usaha-usaha pembangunan semula Gaza. Kerana pada perspektif kuasa-kuasa liberal Barat, pembangunan Filistin sebagai negara liberal sekular tidak akan berjaya jika anasir Islamis seperti Hms masih wujud dalam negara Filistin.

“Board of Peace” yang dikepalai oleh Trump dan Blair itu pula mengingatkan saya pada Coalition Provisional Authority (CPA) yang dikepalai Paul Bremer. CPA ini bertanggungjawab ketuai pembangunan semula Iraq pasca Saddam Hussein. Lepas rejim Ba’ath jatuh, kerajaan yang demokratik tak terus wujud dan AS sebagai occupying force kena galas tanggungjawab untuk bangunkan semula Iraq. You broke it, you own it, itulah yang AS dibuat Washington lepas jatuhkan Saddam Hussein.

Paul Bremer pada dasarnya tidak arif tentang Iraq, budaya dan demografi Iraq pun Bremer tidak faham secara mendalam. Tapi pentadbiran Bush Jr. telah melantik Bremer untuk membangunkan semula Iraq. Hasilnya? Polisi menyahkan pengaruh Ba’ath yang dilancarkan Bremmer menghuru-harakan Iraq dan menyumbang kepada perang saudara Sunni-Syiah di Iraq.

Persamaan antara Trump dan Blair dengan Bremer adalah mereka bukanlah pakar tentang Timur Tengah dan Filistin secara khususnya. Apatah lagi Trump dan Blair tidak akan mewakili kepentingan orang Filistin, tapi mewakili kepentingan Zionis. Hasil post conflict reconstruction di Filistin oleh Trump dan Blair ini mungkin tidak jauh lebih baik daripada hasil pembangunan semula Iraq dibawah Bremer. Penglibatan Tony Blair dalam Board of Peace jelas sekali tidak mencerminkan kepentingan orang Filistin dan umat Islam secara keseluruhan. Orang yang membantu menjahanamkan Iraq tidak mungkin membawa aspirasi umat Islam dalam perjuangan pembebasan Filistin.

Seandainya negara Filistin yang merdeka berjaya diwujudkan dibawah pemantauan Board of Peace ini sekalipun, negara tersebut pada perspektif Tel Aviv tidak akan dibenarkan jauh lebih kuat daripada I$rael. Kuasa relatif negara Filistin yang baru ini — yang wilayahnya telah tinggal sedikit — dengan demikian tidak akan dibiarkan Tel Aviv jauh melebihi I$rael, terutamanya dalam domain ketenteraan. Filistin dibawah kerangka pelan damai Trump mungkin boleh merdeka dan menjadi makmur dibawah semua projeknya, tapi dengan tanah yang tinggal sekangkang kera dan kuasa ketenteraan yang jauh lebih lemah daripada I$rael.

Tulisan : Muaz Malik

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts