Pasukan bersenjata penjajah Zionis menembak dan membunuh beberapa orang penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza sepanjang bulan Ogos.
Imad Ali Muhammad Dweikat, 38, telah terbunuh apabila ditembak oleh tentera Zionis di dada, semasa tunjuk perasaan di Beita, sebuah kampung berhampiran bandar Nablus di utara Tebing Barat, pada 6 Ogos.
Tentera Israel telah membunuh beberapa penduduk Beita tahun ini, ketika penduduk kampung memprotes pembangunan pos penempatan haram Yahudi di atas sebuah bukit milik komuniti Palestin yang berdekatan.
Enam orang lagi dibunuh semasa operasi tentera Zionis menyerbu dan menangkap penduduk di utara Tebing Barat.
Dia al-Din al-Sabarini, 25, ditembak di bahagian perut semasa serbuan untuk menangkap penduduk di Jenin pada 3 Ogos, dan cedera sehingga meninggal dunia seminggu kemudian.
Pasukan khas polis Zionis berpakaian preman turut membunuh empat orang Palestin di bandar Jenin pada awal pagi 16 Ogos.
Kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin menyebut bahawa keempat-empat lelaki itu – Saleh Ammar, 19, Raed Abu Saif, 21, Nour al-Din AbduIlah Jarrar, 19 dan Amjad Iyad Husseiniya, 20 – ditembak dengan peluru hidup di bahagian atas dada.
Rejim Zionis menahan jenazah Nour al-Din dan Amjad.
Pembunuhan itu berlaku beberapa hari selepas Ketua Turus tentera Zionis, Aviv Kochavi, mengarahkan pasukan tentera “mengurangkan” penembakan di Tebing Barat, di mana lebih daripada 50 orang Palestin terbunuh oleh tembakan peluru hidup sejak awal tahun ini.
Setelah berlaku insiden di Jenin itu, pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Al-Haq, mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya mempercepat penyiasatannya terhadap jenayah perang di Tebing Barat dan Gaza.
Kanak-kanak terbunuh dalam serbuan
Imad Hashash, 15, terbunuh dalam serangan tentera Zionis pada 24 Ogos. Ketika kejadian, dia berada di bumbung rumahnya di kem pelarian Balata, di Nablus. Beliau ditembak di bahagian kepala.
Menurut Defense for Children International Palestin, Imad adalah kanak-kanak Palestin ke-12 yang ditembak dan dibunuh oleh tentera Zionis di Tebing Barat sejak awal tahun ini. Agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, mengatakan “sangat sedih” dengan pembunuhan Imad, yang merupakan pelajar kelas sembilan di salah sebuah sekolahnya.
Dua orang Palestin di Gaza cedera parah ditembak oleh tentera Zionis ketika menyertai perhimpunan tunjuk perasaan di sepanjang sempadan.
Osama Khaled Dueij, 31, ditembak semasa tunjuk perasaan di timur Kota Gaza pada 21 Ogos dan meninggal dunia akibat kecederaannya empat hari kemudian.
Omar Hasan Mousa Abu al-Nil, 13, ditembak dan cedera semasa tunjuk perasaan yang sama dan meninggal dunia pada 28 Ogos.
Sementara itu, seorang warga Palestin dari Wilayah 1948 Yang Terjajan dibunuh oleh tentera Zionis di Tebing Barat pada lewat malam antara 31 Ogos dan 1 September.
Raed Jadallah, 39, ditembak tanpa alasan yang jelas oleh tentera pemantau yang berkawal di pusat pemeriksaan berhampiran Beit Ur al-Tahta di Tebing Barat tengah.
Remaja terbunuh ketika meroboh rumah
Di timur Kota Baitul Maqdis, Ali Burqan, 17 tahun, terbunuh ketika tembok simen runtuh menimpa beliau yang sedang membantu jirannya memusnahkan kediaman mereka di kawasan Beit Hanina pada 28 Ogos.
Rumah milik keluarga Abdeen itu dibina pada tahun 2010. Pada awal bulan Ogos, rejim Zionis memerintah supaya ia dirobohkan.
Keluarga Palestin di timur Baitul Maqdis terpaksa membina rumah di tanah mereka sendiri tanpa mendapat izin atau permit dari pihak perbandaran Zionis, kerana ia adalah suatu perkara yang hampir mustahil bagi mendapatkan keizinan mereka. Penafian permit ini adalah sebahagian dari usaha rejim Zionis untuk mewujudkan persekitaran yang boleh memaksa rakyat Palestin meninggalkan kota asal mereka.
Penduduk Palestin terpaksa merobohkan kediaman mereka sendiri bagi mengelakkan denda melampau yang dikenakan oleh rejim penjajah.
Juga pada bulan Ogos, penduduk Palestin di Gaza melancarkan balon yang membawa api ke arah wilayah yang dijajah rejim Zionis sebagai protes terhadap sekatan berterusan yang dikenakan sejak 2007. Tentera Zionis membalas dengan serangan udara ke atas Gaza.
Pasukan pejuang Palestin di Gaza melancarkan dua roket ke arah wilayah yang diduduki Zionis pada 16 Ogos, untuk pertama kalinya sejak Mei.
Protes juga diteruskan di sepanjang sempadan timur Gaza, di mana tentera penjajah menembak peserta menggunakan peluru hidup, peluru bersalut getah dan gas pemedih mata.
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) adalah sebuah NGO yang didaftarkan pada tahun 1989. Biro HALUAN Palestin memberi fokus kepada permasalahan Palestin melibatkan program kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia, projek bantuan kepada penduduk dan pelarian Palestin, serta kempen solidariti ke arah pembebasan bumi Palestin serta Masjid al-Aqsa yang penuh barakah.
Kenali Kami
Soalan Lazim
Hubungi Kami