Membunuh rakyat Gaza adalah suatu ‘kewajiban’ – Israel

Kementerian Luar Israel telah mengeluarkan satu laporan lengkap yang mempertahankan serangan habis-habisan tentera pengganas Israel selama tiga minggu ke atas Gaza.

Laporan yang diterbitkan pada hari Khamis itu mendakwa bahawa Israel mempunyai “gandingan hak dan kewajipan untuk menyerang” rakyat Gaza yang sudahpun sekian lama dikenakan berbagai bentuk sekatan, sebagai membalas serangan roket yang dilancarkan dari Gaza ke atas wilayah Israel. Israel mendakwa sebanyak 12000 roket telah dilancarkan antara tahun 2000 dan 2008. Oleh itu, serangan mereka ke atas Gaza adalah suatu yang perlu dan setimpal.

Di dalam laporan setebal 163 mukasurat yang bertajuk “The Operation in Gaza – Factual and Legal Aspects” itu Israel mengaku buat pertama kalinya bahawa mereka telah menggunakan peluru yang mengadungi fosfur putih dalam serangan mereka ke atas Gaza. Walaupun begitu, laporan tersebut tetap mendakwa tentera Israel telah melakukan serangan bersandarkan kepada Undang-undang Kemanusian Antarabangsa, yang antara lain perlu memastikan serangan hanya dilakukan ke atas objektif ketenteraan, dan orang awam dan kemudahan awam tidak dimusnahkan.

Walaupun bukti-bukti jelas dapat dilihat, samada bukti dalam bentuk gambar, pengakuan tentera mereka dan juga laporan perubatan ke atas mangsa, Israel selama ini tetap menafikan bahawa mereka telah menggunakan senjata kimia fosfur putih dan juga sisa uranium. Mereka mendakwa serangan tersebut sebagai satu tindakan yang mulia.

Malahan, laporan itu turut menyebut bahawa Israel telah bersusah-payah memastikan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk Palestin, termasuklah penghantaran 1511 buah trak yang membawa 37162 tan bekalan.

Pembunuhan rakyat awam secara sengaja, pengeboman kawasan kediaman dan serangan ke atas sekolah PBB yang digunakan sebagai kem pelarian adalah merupakan sebahagian daripada pencabulan hak asasi manusia yang didakwa berlaku semasa serangan ke atas Gaza.

Menurut laporan tersebut juga, Israel sedang menjalankan siasatan ke atas 100 aduan, termasuk 13 siasatan jenayah, selepas desakan oleh PBB dan beberapa kumpulan hak asasi manusia.

Akhbar Hareetz Daily melaporkan bahawa dokumen tersebut dikeluarkan dua minggu lebih awal daripada “laporan tegas” yang dijangka dikeluarkan oleh PBB tidak lama lagi. Mungkinkah ini satu strategi licik Israel untuk terus  mempengaruhi dunia luar, seterusnya menghina dan memperbodohkan manusia lain?

Sumber: Israel Ministry of Foreign Affairs, Press TV. Laporan yang dinyatakan boleh dimuat-turun dari laman web Kementerian Luar negara haram Israel.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts