97% air di Gaza tercemar dan beracun

GENEVA, 4 Okt 2021 — Sekatan rejim Zionis yang berpanjangan ke atas Gaza menyebabkan kemerosotan bekalan air semakin serius, di mana telah terbukti 97% daripada sumber air tercemar sehinggakan penduduknya berhadapan dengan “keracunan secara senyap dan perlahan-lahan.”

Kenyataan bersama Euro-Mediterranean Human Rights Monitor (Euro-Med Monitor) dan Global Institute for Water, Environment and Health (GIWEH) dalam sesi Majlis Hak Asasi (HRC) Ke-48 menegaskan bahawa sekatan serta kepungan rejim Zionis, di samping serangan berulang-ulang yang memusnahkan prasarana, menjadi punca utama pencemaran.

Keadaan diburukkan lagi oleh krisis elektrik yang teruk, yang membantut pengoperasian bekalan air dan loji rawatan kumbahan, menyebabkan kira-kira 80% kumbahan yang tidak dirawat dibuang ke laut sementara 20% meresap ke dalam air bawah tanah.

Serangan tentera Zionis pada bulan Mei lalu secara substansial menghancurkan infrastruktur yang sudah usang, terutama dalam sektor bekalan air.

Krisis air ini menimbulkan ancaman serius bagi kesihatan penduduk Gaza.

Data terbaharu menunjukkan bahawa sekitar seperempat penyakit yang tersebar di Gaza disebabkan oleh pencemaran air, dan 12% kematian anak-anak dan bayi mempunyai kaitan dengan penyakit usus yang berkaitan dengan air yang tercemar.

Penduduk awam khususnya kanak-kanak yang terkurung di kawasan beracun sejak lahir hingga mati terpaksa behadapan dengan keracunan perlahan dan berterusan oleh air yang mereka minum dan kemungkinan tanah di mana mereka menuai.

Euro-Med Monitor dan GIWEH merumuskan bahawa tidak ada sebarang justifikasi terhadap krisis yang meruncing ini. Pihak penjajah dan masyarakat antarabangsa bertanggung jawab sepenuhnya menjamin hak warga Gaza.

(Euro-Med Monitor)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts