Boikot dan protes – setiap kita ada peranan

9 Mac 2009 baru lalu, pelajar-pelajar Universiti East London (UEL) yang menduduki kampus Docklands selama 2 minggu sebagai protes kepada keganasan Israel ke atas Gaza akhirnya menamatkan protes setelah permintaan mereka ditunaikan.

Lebih dari 50 pelajar memulakan protes pada 18 Februari lalu dengan rancangan untuk terus berada di kampus tersebut sehinggalah 7 permintaan mereka ditunaikan, termasuk desakan supaya Naib Canselor mengeluarkan kenyataan mengecam jenayah perang Israel dan sekatan ke atas Gaza. Walau bagaimanapun, mereka menamatkan protes tersebut pada 3 Mac setelah menerima mesej dari pemangku Naib Cancelor, Susan Price, tentang persetujuan untuk memberi biasiswa penuh kepada 6 pelajar dari Gaza setiap tahun.

Tindakan solidariti pelajar UEL bukanlah suatu kes yang terpencil di Eropah mahupun Amerika. 7 Februari lalu di Washington, Hampshire College mencipta sejarah dengan menjadi institusi pendidikan yang pertama di Amerika menghentikan sebarang bentuk hubungan dengan syarikat-syarikat yang terlibat dengan pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin. Lebih 800 orang elajar, profesor dan ahli alumni mengeluarkan petisyen supaya dipindahkan kepentingan dan hubungan dengan 6 syarikat berkaitan iaitu Caterpillar, Terex, Motorola, ITT, General Electric dan United Technologies.

Manakala pada 28 Februari 2009 pelajar-pelajar Cardiff University mengakhiri ‘pendudukan’ mereka ke atas dewan kuliah Large Shandon di bangunan utama universiti. Pendudukan tersebut adalah sebahagian daripada projek mereka “occupying against occupation” yang dilancarkan selama tiga hari. Hasilnya? Cardiff University mengalihkan semua saham dan kepentingan mereka daripada British Aerospace (BAe Systems) dan sayap industri angkasa General Electric. Malahan pihak universiti juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan menghantar komputer dan sumber-sumber berlebihan lain ke institusi pendidikan di Gaza.

Di Eropah secara umumnya, ahli-ahli politik kini mengusulkan soalan-soalan supaya kerajaan mereka melakukan sesuatu yang lebih besar dalam hal kependudukan Israel di Palestin. Contoh yang baik adalah kempen “Break the Silence” yang digerakkan oleh Dutch Labor Party. Parlimen Eropah menghentikan perbincangan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara Kesatuan Eropah dan Israel. Malahan ada usaha-usaha untuk mengantung lansung perjanjian perdagangan antara mereka.

Akhbar-akhbar utama di Eropah kini menerima cetak tulisan dan pandangan berkaitan isu ini, termasuklah akhbar popular The Sunday Times.

Di Stockholm, majlis tempatan telah membatalkan perjanjian berbilion Euro dengan Veolia Transport kerana penglibatan syarikat tersebut dalam projek keretapi-ringan di Jerusalem.

Di Afrika Selatan, pekerja-pekerja pelabuhan enggan memunggah barangan dari kapal yang didapati membawa produk dari Israel.

Tidak terkira banyaknya tunjuk perasaan yang diadakan di serata dunia, dari Cape Town hingga ke Swansea, dan dari Stockholm hinggalah ke Montreal. Mereka telah dapat menarik publisiti media yang cukup berkesan.

United Methodist Churuch di Amerika juga menerima petisyen supaya memindahkan kepentingan mereka daripada syarikat yang menyokong atau mendapat keuntungan daripada kependudukan Israel.

Begitu juga dengan boikot akademik dan budaya, dan juga usaha untuk membawa pemimpin-pemimpin Israel ke muka pengadilan kerana jenayah perang.

Minggu Aparthied Israel yang sedang berjalan dari 1hb hingga 8hb Mac di seluruh dunia membuka ruang kepada aktivis solidariti untuk meneruskan usaha mereka menyedarkan masyarakat dan menggesa kerajaan mereka menghentikan sebarang bentuk sokongan kepada pembanguan kerajaan haram Israel dan juga perniagaan-perniagaan yang menyokong mereka.

Bagaimana dengan kita di Malaysia? Kenyataan media yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat yang tersenarai sebagai produk yang menyokong atau menyumbang kepada Israel jelas menggambarkan suasana yang tidak selesa bagi mereka. Malahan syarikat-syarikat berkenaan mengambil langkah menurunkan harga sebagai usaha menarik pelanggan, atas alasan masalah ekonomi yang sedang melanda pengguna. Mengapa baru sekarang menurunkan harga? Suatu perkara yang agak pelik di Malaysia apabila peniaga begitu prihatin dan bersimpati dengan pembeli!

Apakah kita rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian ini sanggup untuk terus memberi nafas kepada pendokong ekonomi dan penjajahan Israel? Setiap kita ada peranan untuk menghentikan sokongan kepada kekejaman Israel ini. Setidaknya, cuba elakkan diri anda, keluarga dan rakan-rakan daripada membeli barangan syarikat yang jelas menyokong Israel.

[print_link] [email_link]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts