Gaza menjadi tempat eksploitasi komersial ubat-ubatan

Petugas-petugas di Jabatan Kesihatan Gaza mendedahkan keadaan hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan di Gaza yang mengalami kekurangan sejumlah besar ubat-ubatan dan peralatan perubatan akibat bekalan ubat yang rosak dan luput tarikh. Keadaan ini berlaku ekoran sistem bantuan bekalan ubat dan peralatan hospital daripada negara luar yang dilakukan secara tidak tersusun.

Begitu banyak ubat-ubatan disumbangkan oleh negara luar. Namun dalam banyak kes, ubat-ubatan yang dibawa masuk itu sudahpun luput tarikh dan kemungkinan besar akan membawa mudharat jika digunakan.

Menurut laporan Al-Jazeera yang memetik sebuah agensi berita German sebagai mendakwa bahawa hanya 30 peratus daripada sumbangan perubatan yang dibawa masuk ke Gaza dapat digunakan. Menurut laporan itu lagi, Jabatan Kesihatan menerima lebih daripada 1,300 tan bantuan ubat-ubatan dan peralatan hospital, namun ubat-ubatan itu tidak dilabel. Keadaan ini menimbulkan masalah yang besar bagi para pegawai kesihatan untuk mengenalpasti ubat yang begitu banyak.

Sebanyak 22 peratus daripada sumbangan perubatan yang sampai ke gudang Jabatan Kesihatan Gaza sudah pun luput tarikh. Yang menyedihkan lagi, ubat-ubatan tersebut ternyata sudahpun luput tarikh sejak dari negara asal bantuan dihantar, dan sebahagian lagi rosak di pusat-pusat simpanan berdekatan sempadan di Mesir.

Masalah menjadi semakin rumit apabila sebahagian besar ubat-ubatan yang disumbangkan itu sebenarnya tidak berdaftar di peringkat antarabangsa dan tidak sesuai dengan spesifikasi, mutu dan kegunaan di negara yang memberi bantuan itu sendiri. Terdapat juga ubat-ubatan yang sebenarnya dikeluarkan sebagai contoh komersial, atau tarikh luput yang hampir tamat, malahan sebahagiannya telah pun tamat sebelum tiba di Gaza.

Al-Jazeera juga memetik kenyataan seorang pegawai Jabatan Kesihatan yang menuduh bahawa terdapat usaha mengekspoitasi penderitaan penduduk Gaza untuk kepentingan komersial. “Gaza telah menjadi tempat pembuangan ubat-ubatan yang telah atau hampir rosak, dan yang lainnya hanyalah untuk eksploitasi perdagangan”, ujar pegawai yang tidak disebutkan namanya itu.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Gaza, terdapat sebanyak 114 jenis ubat kini kehabisan bekalan sepenuhnya meskipun mereka telah berulang kali memohon kepada penderma atau bantuan untuk bekalan ubat-ubat tersebut.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia yang berkhidmat di Gaza menyatakan bahawa lebih daripada 300 orang pesakit telah meninggal dalam tempoh 3 tahun ini kerana keadaan kesihatan mereka semakin teruk akibat tidak mendapat rawatan yang diperlukan. Pesakit-pesakit juga tidak boleh mendapatkan perubatan di luar negara kerana embargo yang dikenakan oleh Israel menghalang pergerakan keluar masuk rakyat Gaza. (mn/AlJazeera)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts