Israel rancang tukar kejiranan Al Bustan menjadi sebuah taman

Sebuah taman yang dipenuhi bungaan, pepohonan, laluan tiupan bayu dan kedai-kedai untuk menikmati kopi: inilah perancangan Zionis Israel untuk melitupi runtuhan kejiranan Al Bustan, iaitu sebahagian daripada kejiranan Silwan di timur kota suci Baitul Maqdis.

Kejiranan Silwan ini semakin terdedah kepada ancaman kemusnahan, dengan arahan meruntuhkan rumah kediaman dan pengusiran secara paksa semakin meningkat. Apabila kemusnahan kepada kejiranan ini telah semuanya selesai, sebuah taman akan dibina di atas runtuhan kejiranan tersebut.

Tidak jauh dari Masjid Al Aqsa, ke arah Selatan, Silwan adalah sebuah kejiranan yang menyaksikan lantai sebuah sekolah perempuan milik Bangsa-bangsa Bersatu runtuh akibat kerja-kerja menggali yang dijalankan oleh Israel di bawah kompleks masjid yang suci itu. Di situlah juga berlakunya peristiwa 40 buah rumah mendap tenggelam, angkara kerja-kerja Zionis tersebut.

Kawasan Silwan menempatkan 80 buah rumah yang dihuni oleh 1,500 orang. Rumah-rumah mereka telah dibina berabad-abad dahulu, di atas tanah yang diwarisi dari ibubapa dan nenek-moyang mereka. Mereka kini bakal kehilangan tempat tinggal memandangkan proses ‘pengambil-alihan’ kawasan tersebut kini semakin rancak.

Menurut laporan Fakhri Abu Diab, seorang ahli jawatankuasa mempertahankan Daerah Silwan dan pengarah kepada Pusat Al Bustan, isu pemusnahan kawasan kejiranan Silwan ini bukanlah suatu perkara yang baru. Pada tahun 2000 Israel telah mengeluarkan arahan meruntuhkan semua rumah-rumah atas alasan tidak mempunya permit. Bagaimanapun, arahan tersebut mendapat penentangan hebat melalui khemah-khemah solidariti, kempen media dan tunjuk perasaan.

Abu Diab adalah antara mereka yang mengambil tindakan undang-undang untuk menghentikan kerja merampas dan merobohkan rumah mereka. Walaupun kediaman mereka kini memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh Israel hasil dari bantuan pasukan jurutera, mereka masih lagi gagal mendapatkan kelulusan permit.

“Dua minggu lalu, seseorang yang digelar Datuk Bandar Jerusalem telah berjumpa dengan beberapa orang penduduk di kawasan Al Bustan dan mengarahkan mereka supaya meninggalkan rumah untuk ditukarkan dengan tanah di kawasan lain. Sekiranya tidak, mereka akan dipaksa mengosongkan rumah untuk diruntuhkan. Semua penduduk menolak tawaran tersebut,” jelas Abu Diab.

“Pagi Ahad lalu datang polis dan askar dalam satu pasukan yang besar bersama pekerja-pekerja bandaran. Mereka mula memeriksa dan mengukur rumah-rumah di kejiranan tersebut. Mereka juga mengambil gambar dan melukis peta rumah-rumah di kawasan Al Bustan dan sekitarnya, termasuk jalan-jalan dan lorong-lorong. Mereka mengambil masa kira-kira lima jam.”

Bukan sahaja kemusnahan warisan Jerusalem yang menjadi kebimbangan Abu Diab, tetapi juga nasib penduduk yang akan kehilangan tempat untuk berteduh. “Perlaksanaan skim untuk membina taman di Al Bustan ini merupakan satu kepentingan politik dan keagamaan Israel, yang mengakibatkan penduduk di sini kehilangan rumah tanpa tempat berteduh. Semua helah berkaitan permit pembinaan rumah hanyalah untuk mencapai objektif politik mereka. Perkara ini sangat jelas,” kata Abu Diab.

Ibu Abu Diab tinggal di sebuah rumah berukuran 40 meter persegi yang dibina 200 tahun dahulu oleh nenek-moyangnya.

Dalam isu berkaitan, sumber-sumber Zionis Israel melaporkan bahawa hak-milik 14 hartanah di Silwan yang merangkumi keluasan 28 dunums (10 dunum bersamaan 1 hektar) telah dipindahkan ke pihak Zionis tanpa mendapat sebarang kebenaran daripada penasihat undang-undang kerajaan.

(Sumber: Palestine News Network)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts