Israel tangkap pemimpin Palestin selepas rundingan Shalit gagal

Tentera pengganas Zionis Israel telah menangkap beberapa orang pemimpin Palestin, termasuk ahli parlimen, di Tebing Barat awal pagi Khamis 29 Mac 2009, iaitu dua hari selepas rundingan untuk pertukaran tahanan melibatkan Gilat Shalit gagal dipersetujui. Pasukan tentera pengganas Zionis dilaporkan memecah masuk ke rumah-rumah pemimpin Hamas di Nablus, Ramallah, Hebron dan Bethlehem seawal jam 2 pagi.

Menurut laporan akhbar Israel Haaretz, antara 10 orang yang ditangkap oleh tentera Israel adalah 4 orang ahli parlimen, seorang profesor dan bekas Timbalan Perdana Menteri Palestin.

Manakala agensi berita Ramattan melaporkan bahawa antara mereka yang ditangkap adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Nasseruddin Al-Sha’er, seorang lagi pemimpin politik Hamas Adnan Asfour, dan Profesor Issam Al-Shqar, kesemuanya dari Nablus. Ahli parlimen yang lain termasuk Ayman Daragmeh dari Ramallah, Azzam Salhah dari Hebron dan Nizar Ramadan, juga dari Hebron.

Usaha rejim Zionis Israel untuk menangkap pemimpin Hamas dilakukan sejurus selepas kegagalan rundingan untuk membebaskan tawanan melibatkan seorang askar pengganas Israel, Gilat Shalit. Perdana Menteri Ehud Olmert sangat berharap untuk mendapatkan kebebasan Shalit sebelum kerajaan baru negara haram Israel dibentuk, yang dijangka akan berlaku dalam beberapa hari lagi.

Malahan Olmert telah menghantar dua orang wakilnya ke Kaherah, iaitu ketua perunding Ofer Dekel dan ketua keselamatan Shin Bet Yuval Diskin, untuk cuba berunding dengan kerajaan Palestin di Gaza dalam perbincangan di bawah tajaan kerajaan Mesir hujung minggu lalu. Malangnya mereka pulang ke Israel dengan hampa.

Dalam keterangannya kepada mesyuarat Kabinet Israel, Ofer Dekel mendedahkan tawaran Israel sebagai tukaran Shalit: pembebasan 325 orang tahanan Palestin. Namun Israel akan hanya membenarkan 144 orang daripada mereka dibebaskan ke Gaza atau negara ketiga, tidak ke daerah tempat asal mereka.

Susulan kegagalan itu, Selasa lalu Olmert menegaskan Israel tidak akan membebaskan sebarang tahanan Palestin sebagai pertukaran.

Israel juga mengugut untuk meneruskan sekatan ke atas Gaza sehinggalah Shalit berjaya dibawa pulang ke Israel. Mereka berharap tindakan ini akan menggagalkan usaha pembangunan semula Gaza kerana bahan dan peralatan binaan tidak akan dapat memasuki Gaza.

Selasa lalu, seorang anggota Parlimen Israel Knesset, Aryeh Eldad, mencadangkan supaya Shalit tidak dijadikan pertukaran kepada tahanan Palestin. Beliau sebaliknya menyeru supaya Perdana Menteri Palestin, Ustaz Ismail Haneyya, dibunuh untuk memberi tekanan supaya Shalit dibebaskan.

Semalam Rabu, bapa Shalit, Noam, mendakwa Olmert telah gagal membebaskan anaknya. Justeru dia dan keluarganya akan memunggah semula khemah yang mereka bina di luar kediaman Olmert. Khemah tersebut dibina Sabtu lalu sebagai protes sempena 1000 hari Shalit ditangkap.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts