Jangan Serang Rafah, kata Amerika Syarikat Kepada Israel

Jumaat lalu sekali lagi mendesak sekutu kuatnya, Israel supaya menghentikan rancangan gila untuk melancarkan serangan berskala besar ke atas bandar Rafah di mana hampir 1.5 juta penduduk Palestin sedang terperangkap.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus angkuh dan tiada perikemanusiaan menegaskan beliau tetap meneruskan operasi di bandar paling selatan Genting Gaza tersebut atas alasan mahu menghapuskan Hamas.

Rumah Putih memaklumkan Presiden Joe Biden telah menghubungi Netanyahu pada lewat Khamis supaya tidak meneruskan kempen serangan ganas ke atas lokasi bersempadan Mesir berkenaan tanpa pelan untuk melindungi keselamatan orang awam, lapor AFP.

Komuniti antarabangsa mengutuk keras rancangan zalim rejim Zionis itu memandangkan lebih separuh populasi Gaza yang hilang tempat tinggal kini berlindung di kawasan sesak tersebut yang meliputi kurang 20 peratus daripada saiz asal enklaf tersebut.

“Kami diarahkan untuk ke sana sini tanpa hala tuju dan lokasi terakhir yang didakwa selamat ialah Rafah. Ke mana lagi kami mahu pergi?” ujar Ahlam Abu Assi yang terpaksa berpindah beberapa kali dari Bandar Gaza ke kawasan selatan.

Untuk pengetahuan pembaca, Rafah dinyatakan sebagai tempat “selamat” oleh Zionis Israel tetapi ternyata tiada tempat selamat di Gaza. Baik utara mahupon selatan.

Sejak awal minggu lalu, Britain, Australia, Kanada dan New Zealand juga menggesa rejim Tel Aviv supaya tidak melancarkan operasi di bandar tersebut kerana bimbang dengan skala malapetaka yang lebih dahsyat.

“Israel perlu mendengar saranan sekutunya dan komuniti antarabangsa dan tidak menjadikan nyawa orang awam sebagai taruhan untuk melenyapkan Hamas,” ujar kenyataan bersama negara berkenaan.

Namun, resolusi terbaru PBB untuk mengadakan genjatan senjata terus ditolak oleh Amerika dengan menggunakan kuasa veto yang dimiliki mereka.

Sememangnya Amerika menyokong pembunuhan yang berlaku di Gaza!

Penulis : Kapsul Baitul Maqdis

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts