Jenazah Thaer Abu Ghazaleh selamat dikebumikan setelah ditahan selama 327 hari

AL-QUDS, 31 Ogos 2016 (Silwanic) — Jenazah Thaer Abdel Salam Abu Ghazaleh selamat dikebumikan di tanah perkuburan al-Mujahideen di Jalan Salahuddin, di bandar kelahirannya di kota al-Quds.

Jenazah beliau ditahan selama 327 hari di Institut Abu Kbeir, sekaligus menjadikannya sebagai jenazah paling lama ditahan. Beliau diserahkan kepada keluarganya berdekatan pagar tanah perkuburan awal pagi semalam, di mana hanya seramai 25 ahli keluarga dibenarkan hadir di upacara pengkebumian.

Almarhum adalah mangsa kedua yang terkorban dalam kempen Intifadah al-Quds, di mana beliau ditembak mati pada 8 Oktober lalu atas tuduhan cuba menikam seorang askar wanita Zionis di Tel Aviv dengan menggunakan alat pemutar skru. Beliau juga dituduh cuba merampas senjata askar terbabit.

Keluarganya dipaksa membayar wang cagaran sebanyak 20,000 shekel bagi memastikan mereka mematuhi semua syarat yang dikenakan oleh pihak rejim.

Beberapa pintu gerbang dan kawasan di Kota al-Quds termasuk Jalan Salahuddin dan Wadi al-Joz ditutup, di mana pasukan khas tentera dikerahkan ke kawasan tersebut.

Ibunya Abeer Abu Ghazaleh berkata, “Jenazah beliau dalam keadaan baik. Kami sambut beliau di pintu tanah perkuburan di hadapan puluhan askar. Saya menatap wajah Thaer buat kali terakhir dan menabur bunga dan pasir di atasnya.”

Tentera Zionis masih menahan 13 jenazah penduduk Palestin; tiga dari al-Quds, lima dari al-Khalil dua dari Tulkarem dan masing-masing seorang dari Beit Lahm, Nablus dan Jenin.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts