Laporan OIC: Sistem Perubatan Gaza Kritikal

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyatakan dalam
laporan bulanannya bahawa sistem perubatan di Gaza sedang mengalami
kemerosotan dan sedang menjunam ke dalam krisis yang “terburuk dari
keadaan seumpamanya”.

Menurut laporan itu, hospital-hospital dan pusat-pusat perubatan
mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan dan alat perubatan yang
mendadak. Hal ini telah mengakibatkan berlakunya penundaan pembedahan
mata, kanak-kanak, katerisasi jantung, dan tumor. Turut terkesan ialah
susu formula khas untuk kanak-kanak yang kehabisan sepenuhnya.

Laporan itu menggesa Persatuan Bulan Sabit Merah dan kumpulan hak
asasi manusia di negara-negara Arab dan negara-negara Islam supaya
bertindak dengan kadar yang segera dalam menyediakan keperluan
perubatan kepada Semenanjung Gaza.

Dari segi projek-projek oleh pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan
tempatan yang beroperasi di Semenanjung Gaza, laporan itu mengatakan
bahawa kebanyakan dana pada bulan lalu disalurkan kepada sektor air dan
sisa kumbahan. Manakala sektor kesihatan wanita dan kanak-kanak masih
kekal di bawah tahap yang diperlukan.

OIC dalam laporannya berkata, pada bulan lalu terdapat peningkatan
jumlah konvoi bantuan dan kumpulan sokongan negara luar yang
menunjukkan penyatuan bersama Gaza. Bulan ini menyaksikan konvoi
bantuan pertama dari Afrika Selatan sebagai yang pertama seumpamanya
dari Afrika.

Berhubung dengan krisis tenaga, laporan itu mencatatkan berlakunya
penurunan kadar gangguan bekalan kuasa disebabkan pemulaan penggunaan
penjana ketiga. Ia turut menerangkan secara terperinci bagaimana
mendapatkan bekalan air bersih masih menjadi satu cabaran harian bagi
penduduk Gaza kerana krisis pemanasan dan krisis tenaga yang semakin
bertambah buruk.

Setiausaha agung OIC, Ekmelledin Ihsanoglu telah berjanji untuk
mengkaji kemungkinan lawatan ke Semenanjung Gaza tidak lama lagi dalam
usaha campur tangan OIC, serta jemputan oleh beberapa kumpulan
kemanusiaan dan pemerintah. (pic)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts