Mahkamah Zionis benarkan perjanjian pajak hartanah secara rahsia di al-Quds

AL-QUDS, 1 Ogos 2017 — Mahkamah daerah Zionis di al-Quds hari ini mengesahkan perjanjian menyewa tiga hartanah di antara pegawai-pegawai Gereja Ortodoks Greek dan beberapa syarikat dari luar negara yang mewakili pertubuhan pelampau Yahudi, Ateret Conahim, secara rahsia.

Perjanjian tersebut melibatkan tiga buah bangunan utama, termasuk dua buah hotel, di kawasan penduduk Palestin di antara Pintu al-Khalil dan pasar Kota Lama al-Quds, yang dipajak oleh Ateret Conahim bagi tempoh 99 tahun melalui anak-anak syarikat mereka yang beroperasi di luar negara. Pajakan tersebut boleh diperbaharui sehingga 99 tahun lagi.

Perjanjian pertama ditandatangani pada bulan Ogos 2004 di antara pihak Gereja Ortodoks Greek dan Richards Marketing Corporation bagi bangunan Hotel New Imperial dengan kos US$1.2 juta.

Perjanjian kedua, juga ditandatangani pada bulan Ogos 2004, melibatkan Berisford Investments Ltd. untuk memajak Hotel Petra dengan kos US$500,000.

Manakala perjanjian ketiga pada bulan Oktober 2004 melibatkan Gallow Global Ltd. untuk memajak sebuah bangunan di Kota Lama dan kawasan Muazmia Street 18 dengan kos US$55,000.

Ateret Conahim adalah sebuah pertubuhan pelampau bagi mengumpul hartanah untuk menjadikan Yahudi sebagai penduduk majoriti di Kota Lama al-Quds serta kawasan kejiranan Arab di kawasan-kawasan lain di al-Quds.

Hakim mendakwa bahawa perjanjian tersebut adalah sah dan tidak melibatkan sebarang unsur penipuan.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts