Melemahkan Yahudi dan Amerika Syarikat Menerusi Kekuatan Kepenggunaan dan Kuasa Ekonomi

Hati sangat sayu tatkala melihat gambar-gambar penderitaan penduduk Palestin akibat kekejaman tentera Israel. Jika sebelum ini mereka membina tembok menyekat pergerakan penduduk Gaza dan menafikan bekalan perubatan serta bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin, sekarang Israel semakin bernafsu untuk terus melakukan ‘pembersihan etnik’ penduduk Palestin melalui kekuatan ketenteraan.

Pada masa yang sama, timbul rasa jelek dengan sikap negara-negara Arab yang berjiran dengan Palestin yang seolah-olah tidak pernah cuba berusaha membela nasib jiran mereka yang malang itu. Kewujudan dan peranan Persidangan negara-negara Islam (OIC) dalam mencari penyelesaian sengketa di bumi Palestin ini pula boleh dianggap sebagai “ada atau tiada sama sahaja”

.

Manakala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah tidak lebih sebagai sebuah badan yang sekadar mengeluarkan berpuluh resolusi mengutuk tindakan kejam Israel ke atas negara Palestin. Tidak seperti pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas negara Iran mahupun Myanmar -yang dikatakan melanggar pelbagai hak asasi atau undang-undang antarabangsa – PBB tidak pernah mengenakan sebarang sekatan ekonomi atau tindakan ketenteraan mahupun tindakan undang-undang ke atas Israel walaupun negara tidak sah itu berpuluh kali melanggar atau tidak mematuhi resolusi yang dikeluarkan oleh masyarakat antarabangsa ke atasnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara dunia Islam tidak berkeupayaan dari segi kekuatan senjata untuk melawan Israel yang disokong kuat oleh Amerika Syarikat itu. Kelemahan dari segi persenjataan dan ditambah pula ketiadaan satu pakatan ketenteraan di kalangan negara-negara dunia Islam sebagaimana Pakatan NATO dan WARSAW semasa era perang dingin dulu menyebabkan isu Palestin ini menjadi satu masalah yang dilihat sebagai tiada penghujungnya.

Jadi sebagai umat Islam yang beriman, apa yang boleh kita lakukan untuk membantu menghentikan penindasan Yahudi ke atas saudara-saudara kita di Palestin itu? Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa selemah-lemah iman seseorang ketika dia melihat sesuatu kemungkaran ialah dengan menyanggah kemungkaran tadi di dalam hatinya. Persoalannya sekarang apakah ini merupakan usaha yang termampu yang boleh dilakukan? Jawapannya tentulah tidak kerana kita sebenarnya boleh melakukan lebih daripada itu.

Kita di Malaysia bukan setakat menunjuk perasaan, malah turut menyalurkan pelbagai bantuan dalam bentuk kewangan, makanan dan perubatan kepada penduduk Palestin. Selain itu satu ikhtiar yang dilihat sebagai lebih berkesan untuk memberi tekanan ke atas Israel dan Amerika Syarikat ialah dengan memulau barangan keluaran syarikat kepentingan Yahudi.

Kempen pemulauan yang diterajui oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dilancarkan minggu lepas merupakan satu bentuk usaha yang paling senang dan mudah untuk dilaksanakan kerana kita semua adalah pengguna. Malah ia lebih baik daripada menunjuk perasaan atau menyuarakan bantahan secara terbuka. Tambahan pula Israel dan Amerika Syarikat bukanlah negara yang mengambil kisah tentang perkara ini semua. Bahkan mereka tidak perlu melakukan apa-apa terhadap apa yang disuarakan oleh dunia luar. Bagi mereka tunjuk perasaan dan bantahan terbuka ini boleh ditangani dengan sekadar memekakkan telinga dan membutakan mata.

Bagaimanapun keadaan mungkin boleh berubah jika kita mengambil tindakan yang boleh memberi kesan ke atas ekonomi atau sumber kewangan mereka. Melalui tindakan pemulauan barangan oleh para pengguna Muslim, tahap jualan syarikat-syarikat yang bersekongkol dengan Israel dan Amerika Syarikat akan terjejas. Ekoran daripada itu perolehan mereka akan menurun dan seterusnya akan mengurangkan sumbangan syarikat tadi dalam bentuk bantuan kewangan mahupun percukaian kepada kerajaan negara-negara ini.

Secara amnya, kejayaan sesuatu usaha pemulauan oleh para pengguna bergantung kepada beberapa perkara. Bagi menjamin kejayaan usaha ini, unsur-unsur tersebut perlu wujud. Lebih-lebih lagi proses pemulauan oleh pengguna merupakan satu tindakan yang tidak bersifat ganas dan hanya bertujuan untuk mengganggu suasana perniagaan syarikat-syarikat tertentu selain memberi tekanan secara tidak langsung kepada ekonomi negara yang dipulau tadi.

Perkara pertama yang perlu ada ialah isu sebenar yang hendak diketengahkan kepada masyarakat pengguna. Dalam kes pemulauan barangan Yahudi atau yang menyokong Yahudi ini isunya amat jelas dan nyata sekali iaitu tentang kekejaman dan kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin. Kaitannya dengan kepenggunaan ialah rejim ini memperolehi sumber kewangan daripada syarikat-syarikat berkepentingan Yahudi

Sebagaimana kempen pemulauan ini cuba mengenengahkan isu tersebut kepada masyarakat pengguna, ia juga berperanan untuk memberi petunjuk kepada Israel dan Amerika Syarikat supaya menghentikan kekejaman ke atas penduduk Palestin atau mereka akan berhadapan dengan masalah ekonomi akibat penurunan permintaan ke atas produk-produk keluaran syarikat yang bersekongkol dengan mereka.

Keduanya ialah ada barangan ganti atau pilihan kepada barangan syarikat yang dipulau tadi. Maksudnya bila kita memulau sesuatu barangan, kita tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan barangan yang sama yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat bukan milik Yahudi. Ini juga merupakan satu unsur penting kepada kejayaan sesuatu kempen pemulauan yang dijalankan.

Hakikatnya kita sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk mencari barang gantian kepada hasil keluaran syarikat Yahudi dan sekutunya. Makanan segera, minuman ringan, fesyen, hiburan, barangan dandanan diri, produk teknologi dan sebagainya bukan sahaja dihasilkan oleh syarikat-syarikat yang menyokong kezaliman Zionis, ia juga turut dihasilkan oleh syarikat-syarikat tempatan mahupun serantau. Pokok pangkalnya ialah kemahuan yang ada pada diri seseorang untuk bertukar jenama. Jadi jika kita tidak mahu terlibat sama bersubahat secara tidak langsung menyembelih rakyat Palestin, kita semestinya mengatakan tidak kepada barangan Amerika Syarikat dan Yahudi.

Ketiganya, kempen atau usaha ini perlu dilakukan secara tersusun dan berterusan. Apa-apa yang kita lakukan – hatta dikatakan jika kita hendak melakukan sesuatu yang tidak elok- kalau hendak berjaya, ia perlu dilakukan secara tersusun dan teratur. Begitu juga dalam kes pemulauan oleh pengguna ini. Ia bukanlah sekadar usaha yang diibaratkan hangat-hangat tahi ayam. Sebaliknya ia perlu diperluaskan ke seluruh pelusuk dunia dengan menjadikan para pengguna Muslim sebagai sasaran utama kempen. Melalui perpaduan, kesatuan dan iltizam pengguna Muslim yang ingin melihat rakyat Palestin menikmati keamanan, kita percaya usaha pemulauan ini boleh membuahkan hasil yang diharapkan.

Selain membuat pemulauan barangan, tekanan ke atas kedua buah negara pembuli ini boleh diperhebatkan lagi menerusi pemulauan matawang Dollar Amerika Syarikat. Saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya dunia negara-negara Islam menghentikan penggunaan Dollar dalam urusan perdagangan terutamanya perlu diambil berat jika kita benar-benar ingin melihat keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Dalam hal ini negara-negara Arab yang merupakan pengeksport utama minyak dunia misalnya boleh memainkan peranan mereka dengan meminta pembayaran dibuat dengan menggunakan matawang selain Dollar. Melalui cara ini, kekuatan dollar yang selama ini hanya bersandarkan kepada penggunaan dan penerimaan meluas masyarakat dunia boleh dilemahkan.

Dalam kes Palestin, seharusnya negara-negara Arab yang kaya yang duduk berjiran dengan Palestin perlu memulakan ikhtiar membantu jiran mereka yang malang itu. Ini diikuti oleh negara-negara dunia Islam yang lain. Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Negara-negara bukan tetangga termasuklah negara-negara bukan Islam di seluruh dunia dilihat lebih prihatin terhadap nasib Palestin. Mesir masih menutup sempadannya dengan Gaza. Negara-negara Arab yang berbelanja berbillion dollar membeli kelengkapan ketenteraan terkini hasil pendapatan minyak mereka belum mampu memanfaat senjata canggih yang mereka miliki untuk menakutkan Israel. Apa yang mampu mereka lakukan ialah dengan berdiam diri dan mengambil pendekatan mementingkan diri sendiri.

Ada kalanya pernah terlintas di fikiran penulis agar Allah s.w.t menarik balik kurniaan minyaknya kepada negara-negara Arab ini. Mungkin apabila kehilangan nikmat, baru keinsafan atau kesedaran muncul kepada mereka yang selama ini mereka menafikan tanggungjawab mereka terhadap kebajikan tetangga yang menderita. Mungkin bila kehilangan nikmat baru timbul bibit-bibit ingin bersatu sesama negara saudara seIslam yang lain.

Pengguna Muslim perlu melakukan sesuatu untuk menghentikan kezaliman ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela. Sesungguhnya dunia tidak akan menikmati keamanan selama mana kuasa Yahudi tidak dilemahkan. Jadi sebagai satu bentuk bantuan yang termampu kita lakukan bagi membantu saudara kita di Palestin, kita wajib menyahut seruan pemulauan barangan dan penggunaan dollar yang dijalankan ini. Diharap usaha tersebut akan menjadi titik tolak kepada kelemahan kuasa serta pengaruh Yahudi dan Amerika Syarikat di muka bumi ini.

Oleh: Muhammad Hisham B Mohamad (Fellom IKIM)

Sumber: www.ikim.gov.my

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts