Mengapa Israel Membunuh Azzam al-Hayya — Dan Apa Yang Diketahui Pengantara Amerika

Ancaman Sebelum Pembunuhan
Sumber Palestin memberitahu Quds News Network bahawa pembunuhan Azzam al-Hayya berlaku selepas ancaman langsung yang disampaikan Israel melalui pengantara Amerika semasa sesi rundingan baru-baru ini.

Menurut sumber tersebut, ancaman itu berkait dengan keengganan Khalil al-Hayya menerima syarat-syarat Israel yang dibentangkan dalam rundingan yang sedang berlangsung.

Sumber itu berkata pembunuhan tersebut membawa mesej politik dan keselamatan yang berkait dengan proses rundingan serta menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menekan kepimpinan Hamas agar membuat keputusan.

Corak Menyasarkan Keluarga Pemimpin
Sumber tersebut membandingkan operasi itu dengan siri pembunuhan Israel sebelum ini yang menyasarkan ahli keluarga pemimpin kanan Hamas ketika tempoh rundingan berlangsung.

Mereka merujuk kepada pembunuhan anak-anak dan cucu-cucu bekas ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semasa rundingan terdahulu, selain pembunuhan Hammam al-Hayya, seorang lagi anak Khalil al-Hayya, bersama pembantu dan rakan-rakannya ketika fasa awal rundingan yang menemui jalan buntu.

Menurut sumber itu, Israel cuba menghantar mesej terus kepada kepimpinan Hamas bahawa penolakan terhadap tuntutan Israel akan membawa kepada peningkatan serangan ketenteraan serta menyasarkan pemimpin dan keluarga mereka.

Hamas Kutuk Pembunuhan
Hamas mengutuk pembunuhan tersebut dengan menyifatkannya sebagai “jenayah Zionis yang pengecut” yang bertujuan mempengaruhi pendirian politik pihak penentang melalui ugutan, pembunuhan dan tekanan psikologi.

Gerakan itu berkata percanggahan dan kekeliruan dalam naratif Israel mengenai pembunuhan tersebut mencerminkan apa yang disifatkannya sebagai keadaan bercelaru dalam kerajaan Israel selepas gagal memaksakan syarat-syaratnya melalui rundingan atau tekanan ketenteraan.

Hamas menegaskan bahawa pembunuhan anak-anak pemimpin Palestin “tidak akan melemahkan pendirian penentangan”. Malah akan memperkukuhkan komitmen terhadap hak rakyat Palestin dan meningkatkan sokongan awam kepada penentangan.

Gerakan itu menambah bahawa pemimpin Hamas dan keluarga mereka “membayar harga yang sama seperti rakyat Palestin di Gaza.”

Khalil al-Hayya
Dalam kenyataan panjang kepada Al Jazeera pada Rabu malam, Khalil al-Hayya berkata serangan Israel yang menyasarkan kawasan al-Daraj di Gaza City, yang membunuh rakyat Palestin adalah sebahagian daripada strategi Israel yang iaitu “pembunuhan dan tekanan politik.”

Al-Hayya menuduh Israel cuba menekan melalui “pembunuhan dan keganasan” kerana rundingan gagal secara politik.

Beliau berkata serangan itu secara khusus menyasarkan delegasi perunding Palestin dalam usaha mengubah pendirian mereka dalam rundingan yang sedang berlangsung.

“Sama ada perunding Palestin menyerah kalah dan pemimpin Palestin tunduk, atau dia, anak-anaknya dan rakyatnya akan membayar harga,” kata al-Hayya, menggambarkan apa yang didakwanya sebagai mesej Israel di sebalik pembunuhan dan ancaman tersebut.

Tuduhan Pelanggaran Gencatan Senjata
Al-Hayya turut menuduh Israel gagal melaksanakan persefahaman gencatan senjata yang dicapai di bawah tajaan dan jaminan antarabangsa.

Beliau berkata ratusan rakyat Palestin telah terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam tempoh beberapa bulan selepas perjanjian itu, sementara Israel terus menyekat bantuan kemanusiaan, memperketatkan kepungan serta menghalang kerja pembinaan semula dan pembaikan infrastruktur.

Menurut al-Hayya, Hamas telah mengemukakan beberapa inisiatif dan komited sepenuhnya terhadap syarat-syarat perjanjian, manakala Israel gagal melaksanakan kebanyakan tanggungjawabnya.

Beliau menyeru para pengantara dan penjamin, khususnya Amerika, supaya menekan Israel agar melaksanakan komitmennya dan meneruskan fasa kedua perjanjian itu.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts