Netanyahu hampiri jawatan perdana menteri

netanyahuBenjamin Netanyahu diramal bakal menduduki kerusi perdana menteri Israel selepas mendapat sokongan daripada Avigdor Lieberman, ketua parti berhaluan kanan, Yisrael Beiteinu.

Presiden Shimon Peres belum lagi menentukan siapa yang patut membentuk kerajaan yang baru. Selepas bertemu dengan Peres, Lieberman menyatakan sokongan ke atas parti Likud pimpinan Netanyahu dan menggesa pembentukan kerajaan baru yang turut dianggotai oleh parti Kadima.

Lieberman tidak memberi isyarat atau kata putus bagi membentuk kerajaan dengan mana-mana parti tetapi cenderung kepada parti Likud. Dia berkata, ‘tiga kemungkinan iaitu kerajaan yang lebih besar dan kami dapat apa yang kami mahu; kerajaan yang kecil yang mungkin lumpuh; dan pilihan ketiga ialah pilihan raya yang mana kami tidak akan dapat apa-apa.’

Tzipi Livni, pemimpin Kadima dilihat tidak teruja untuk menyertai mana-mana gabungan yang tidak memberinya kelebihan sebagai ketua. Sebaliknya beliau dilaporkan memberitahu penyokongnya yang Kadima lebih bersedia sebagai pembangkang di parlimen.

‘Hari ini asas kepada pembentukan kerajaan ini terletak pada Netanyahu. Ini bukanlah cara kita.’

Kadima di bawah Livni lebih cenderung mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) namun Netanyahu mengambil pendekatan sebaliknya kerana perbincangan tidak membawa sebarang hasil.

Lieberman mengambil pendirian anti Arab yang keras termasuk meminta semua warga Arab menandatangani ikrar setia kepada negara Yahudi.

Perkembangan masa depan politik Israel dilihat tidak stabil jika keadaan ini berterusan dan bakal mengundang campur tangan Washington untuk pilihan raya semula.

Pilihan raya yang berakhir pada minggu lepas memaparkan Kadima mendapat 28 kerusi diikuti Likud 27 kerusi dan Yisrael Beiteinu 15 kerusi daripada 120 kerusi yang dipertandingkan. Kerajaan yang stabil perlukan sekurang-kurangnya 60 kerusi. Netanyahu boleh membentuk kerajaan jika parti pimpinan Lieberman, parti Shas (ultra ortodoks) dan beberapa parti agama yang kecil memilih untuk bergabung.

Presiden Peres telah berbincang dengan semua parti tetapi ingin berbincang semula dengan Netanyahu dan Livni bagi isu ‘Gaza, Tebing Barat, Iran dan perkembangan ekonomi semasa.’ Peres dijangka akan mengumumkan pilihannya untuk membentuk kerajaan pada minggu depan. Disebabkan parti Kadima tidak memberi lampu hijau kepada Livni untuk memimpin, dia berada dalam kedudukan lemah untuk mendapat persetujuan presiden.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts