Pelampau Yahudi menceroboh Masjid Al Aqsa pada hari Maulidur Rasul

Isnin, 9 Mac 2009 – Sekumpulan 30 orang pelampau Yahudi telah melakukan provokasi dengan menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis tengahari Isnin (9 Mac 2009,) hari umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah saw. Mereka dilaporkan memasuki kompleks tersebut dengan berpewatakan seperti pelancong dan berpakaian awam, dan sejurus berjaya masuk, mereka terus memulakan upacara keagamaan sempena perayaan Purim.

Mereka berjalan sambil melakukan ritual agama Yahudi menuju ke arah utara Pintu Ar-Rahma, terus ke pintu barat dekat Kubah Batu (As Sakhra) dan melaksanakan upacara keagamaan Yahudi di tempat itu. Beberapa orang dari mereka cuba untuk masuk ke Kubah Batu, tetapi berjaya dihalang oleh para penjaga.

Lembaga Waqf yang mengurus dan menjaga masjid Al Aqsa walau bagaimanapun berjaya menghentikan aksi provokasi tersebut, justeru mengelakkan konflik terbuka antara kaum Muslimin dan kelompok palampau Yahudi.

Al Aqsa adalah merupakan masjid suci ketiga kepada umat Islam. Pelampau Yahudi mendakwa masjid tersebut telah dibina di atas runtuhan kuil Nabi Sulaiman, satu dakwaan yang sehingga kini gagal dibuktikan walaupun dengan usaha yang bersungguh-sungguh oleh pakar arkeologi. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan Masjid Al Aqsa untuk digantikan dengan kuil Nabi Sulaiman yang akan dibina semula.

Kelompok radikal Yahudi memang kerap melakukan provokasi dengan melakukan penyerbuan dan menghina masjid Al Aqsa. Cubaan mereka untuk membuat provokasi di hari kebesaran Maulidur Rasul dilihat sebagai usaha untuk mencetus konflik yang besar. Apatah lagi sepanjang hari kebesaran tersebut tentera Israel cuba menghalang umat Islam dari memsauki Masjid Al Aqsa untuk merayakan Maulidur Rasul. Penduduk Palestin disekat dengan pemeriksaan ketat, tidak dibenarkan membawa makanan untuk kanak-kanak merayakan hari kebesaran tersebut.

Pada tahun 2008, Perdana Menteri Ariel Sharon membangkitkan Intifadah ke-2, yang juga digelar sebagai “Intifada Al Aqsa,” setelah pemimpin kejam tersebut membawa pasukan tenteranya menceroboh masuk ke Masjid Al Aqsa. Dalam kejadian tersebut, tentera Israel telah menembak secara rambang ke arah rakyat Palestin yang melakukan protes, menyebabkan beberapa kematian.

Kekejaman rejim Israel dan penduduk Yahudi di Baitul Maqdis kian meningkat sejak akhir-akhir ini, di mana rumah-rumah milik rakyat Palestin di Silwan, Sheikh Jarrah, Shu’afat, Beit Hanina, dan beberapa kawasan di Timur Baitul Maqdis terus dirampas dan diroboh. Agensi berita Palestine News Network melaporkan rejim Zionis juga melakukan kekejaman dan penghinaan dengan memaksa pemilik rumah berbangsa Palestin di Sheikh Jarrah merobohkan sendiri rumah mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel telah mengumumkan penutupan sepenuhnya kawasan yang diduduki rakyat Palestin sempena hari kelepasan Purim. Penutupan tersebut berkuat-kuasa dari Isnin sampai Rabu. [HP. Sumber berita utama: Palestine News Network]

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts