Penduduk Gaza Jual Harta Untuk Elak Meminta Sedekah

GAZA, 20 Feb 2015 (Al-Monitor) — Kemiskinan yang begitu mencengkam hidup Khaled Salim, 18 tahun, memaksa beliau menjual sebahagian daripada barangan perabutnya pada harga yang sangat murah, dengan harapan dapat menyara keluarga dan mengelak dari meminta sedekah.

Kalid, seorang pekerja di sebuah kilang binaan yang musnah dalam serangan tentera Zionis pada musim panan lalu, berkata, “Saya tidak ada pilihan kecuali menjual perabut yang saya ada, kerana saya kehabisan semua wang simpanan. Tidak ada lagi wang untuk saya menyara keluarga. Saya tidak mampu untuk menanggung kos perubatan isteri saya yang sedang menderita sakit barah.”

Khalid dan seluruh ahli keluarganya kini terpaksa tiduk di atas lantai, kerana telah menjual semua katil tempat tidur mereka. Beliau yang kehilangan pekerjaan kini terpaksa menjual peti sejuk. “Apa gunanya menyimpan peti sejuk kalau (ia) sentiasa kosong?”

Penderitaan Khalid, yang tinggal di kota Gaza, mencerminkan penderitaan yang sedang dialami oleh majoriti 1.8 juta penduduk Gaza. Mereka berhadapan dengan berbagai krisis kewangan yang megeruhkan lagi keadaan ekonomi yang telah musnah selama ini.

Krisis yang meruncing ini dihasilkan oleh berbagai faktor ekonomi dan politik, termasuklah sekatan oleh rejim Zionis dan sekutunya, serangan oleh tentera Zionis, penutupan terowongan di sempadan Mesir, penutupan pintu masuk di Rafah dan krisis kewangan yang menghantui institusi Otoriti Palestin di Ramallah.

Sekatan rejim Zionis yang berlarutan sejak lapan tahun lalu telah memusnahkan ekonomi dan pembangunan Gaza, meninggalkan keadaan yang sangat mengecewakan di seluruh wilayah Gaza.

Menurut pengarah Palestinian Banking Corporation dan Palestinian Development Fund di Gaza, Nebras Bseiso, “serangan Zionis ke atas Gaza yang memusnahkan kemudahan industri telah menyebabkan 12,000 orang hilang pekerjaan. Penutupan terowong di sempadan menjadikan 1,200 lagi menganggur.”

“110,000 graduan universiti menganggur, dan sekitar 30,000 lagi graduan institusi penjagian tinggi lain turut menganggur. Mereka tidak mempunyai peluang apabila sektor awam tidak dapat menawarkan pekerjaan baharu kerana ianya dipenuhi oleh staf yang dilantik oleh pihak Otoriti Palestin dan juga pentadbiran Hamas.” Beliau menambah, Otoriti Palestin hanya dapat menawarkan pekerjaan kepada tidak lebih dari 7% graduan setiap tahun.

Menurut Palestinian Central Bureau of Statistics, kadar pengangguran di Gaza sejak suku akhir tahun 2014 adalah 42.8%, manakala kadar kemiskinan adalah 65%.

Di pasar Firas, sebuah pasar yang terkenal di tengah kota Gaza, Mohammed al-Aaraj, 29 tahun, berdiri di hadapan sebuah komputer dan buaian kecil dengan tulisan “Untuk Dijual.”

Mohammed, seorang guru sekolah rendah, menceritakan, “Keputusan kerajaan Palestin yang enggan membayar gaji kepada pekerja yang dilantik oleh Hamas menyebabkan kami menjadi sangat miskin dan tidak mampu menampung keperluan ahli keluarga.”

Sambil menunjuk ke arah buaian, iaitu sebuah hadiah dari ibunya apabila beliau mendapat anak pertamanya dua tahun lalu, Mohammed menambah, “Dengan menjual buaian ini, bermakna saya menghalang anak-anak peluang untuk bermain, tetapi saya tidak ada pilihan. Ianya merupakan satu kemewahan yang kami tidak lagi mampu miliki. Apa yang saya sangat bimbangkan adalah, saya mungkin akan sampai kepada satu tahap di mana saya terpaksa menjual barangan yang tidak mampu saya lepaskan.”

42,000 pekerja yang telah dilantiuk oleh kerajaan Hamas sejak 2007 hingga 2014 mengalami masalah yang meruncing apabila kerajaan Palestin tidak membayar gaji mereka sejak bulan Jun 2014.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts