Meskipun Washington berjaya memaksa pemimpin Otoriti Palestin menyambung semula rundingan damai secara langsung dengan pemimpin negara haram Israel yang mungkin akan melibatkan perbincangan tentang penempatan haram Yahudi, pendatang-pendatang Yahudi telah membuat pengisytiharan bahawa mereka akan terus memperluaskan lagi kawasan-kawasan penempatan haram baru di atas tanah-tanah Palestin yang dijajah.
Semalam, Khamis 2 September iaitu beberapa jam sebelum berlangsungnya rundingan di Washington, pengarah kepada sebuah kumpulan pendatang haram yang digelar Majlis YESHA, Naftali Bennett berkata mereka akan meneruskan usaha membina lebih banyak kediaman baru di atas tanah Palestin.
Bennet dilaporkan sebagai menyebut bahawa kediaman baru dan juga infrastruktur awam akan dibina di sekurang-kurangnya 80 kawasan penempatan haram Yahudi. “Bila mereka (Palestin) mendapat mesej yang jelas bahawa kami berada di sini untuk selama-lamanya dan kami semakin hebat dan kuat dari hari ke hari, mereka akhirnya akan menyerah kalah”, kata Bennet.
Isu penempatan haram akan menjadi tajuk utama rundingan damai, di mana Zionis tetap berkeras dengan agenda perluasan penempatan Yahudi manakala Otoriti Palestin mendesak supaya wilayah yang dijajah pada tahun 1967 diserahkan semula oleh Zionis.
Pendatang-pendatang haram Yahudi turut dilaporkan membuat ugutan terhadap Netanyahu bahawa beliau akan dijatuhkan sekiranya penempatan baru terhenti akibat rundingan di Washington. (mn/Reuters/PressTV)