Pengiktirafan negara Yahudi mengancam bangsa Arab di Israel

Tuntutan negara haram Israel supaya diiktiraf sebagai sebuah negara Yahudi adalah suatu yang sangat membimbangkan, kata Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheit. “Jika masyarakat dunia membuat keputusan untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi, ianya sudah tentu akan diluluskan oleh PBB,” kata Aboul Gheit melalui temuramah di televisyen Al-Arabiya.

Menteri Luar Mesir ini melahirkan kebimbangan terhadap nasib yang akan menimpa rakyat Israel berbangsa Arab sekiranya PBB meluluskan resolusi mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi. “Apakah mereka akan mendapat semua hak-hak sivil mereka? Apakah mereka akan dapat tetap tinggal di negara itu sebagai golongan minoriti, atau mereka akan diusir keluar?” hujah Aboul Gheit.

Bancian penduduk Israel bagi tahun 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8%, di mana 14,572 orang daripada mereka adalah pendatang Yahudi dari negara luar dan 161,000 lagi adalah kelahiran baru. Penduduk negara haram Israel kini berjumlah 7,645,000 orang. 75.5% adalah bangsa Yahudi, 20.3% berbangsa Arab dan 0.8% dari bangsa-bangsa lain termasuk penganut Kristian.

Selain daripada isu pengiktirafan negara Yahudi ini, rundingan damai yang telah berlangsung di Washington pada 2 September lalu turut membayangkan sikap pemimpin Israel yang tidak boleh dipercayai. “Pihak Israel memutuskan untuk menghentikan pembinaan penempatan baru. Saya lihat keputusan ini sebagai suatu yang memalukan kerana mereka sebenarnya telahpun mengeluarkan permit untuk membina penempatan baru bagi tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang,” jelas Aboul Gheit.

Isu penempatan haram ini juga menjadi sebab bagi beberapa puak Yahudi menentang usaha rundingan damai. Mereka bimbang jika usaha perluasan penempatan baru terpaksa dihentikan akibat rundingan itu.

Dalam isu berkaitan, gerakan perlawanan Hamas mendakwa usaha rundingan damai terbaru ini hanyalah merupakan satu ilusi. “Mereka (pihak Otoriti Palestin) mendakwa kami cuba menggagalkan rundingan. Sedangkan sebarang rundingan damai sebenarnya telahpun gagal sebelum berlakunya sebarang perbincangan, justeru ia tidak memerlukan Hamas atau sesiapa sahaja untuk menggagalkannya,” kata seorang pemimpin gerakan itu, Mushir al Marsi.

“Kami tetap memilih usaha perlawanan dan kami mampu untuk menjayakannya. Ini adalah pilihan sebahagian besar rakyat Palestin. Pilihan yang lainya telahpun gagal. Apa yang terjadi hari ini berkaitan rundingan damai adalah satu usaha untuk membangkitkan jiwa di dalam tubuh yang beku. Pernyataan yang mendakwa Hamas ingin menggagalkan rundingan adalah satu usaha mencari alasan untuk menutup kegagalan mereka, seterusnya meletakkan kegagalan ke atas golongan yang tetap dengan usaha perlawanan, bukannya ke atas rejim Zionis yang terus membina penempatan haram, terus berusaha menYahudisasi Palestin dan mengancam al Quds,” tegas al Masri.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts