Remaja Palestin Meninggal Dunia Selepas Cedera Ditembak

AL-KHALIL, 22 Sep 2015 (Maan) — Seorang remaja perempuan Palestin meninggal dunia selepas tercedera ditembak tentera Zionis di sebuah sekatan di jalan masuk ke Al-Shuhada Street di Al-Khalil.

Hadeel al-Hashlamon, 18 tahun, ditembak sebanyak tiga kali dan dituduh cuba menikam askar. Namun tidak ada sebarang kecederaan ke atas mana-mana askar Zionis, dan pihak tentera tidak mendedahkan sebarang foto atau bukti senjata tajam seperti pisau, sepertimana yang lazimnya mereka lakukan sebelum ini.

Saksi mendakwa bahawa Hadeel meminta supaya badan beliau diperiksa oleh seorang askar wanita, atau dia akan berundur balik.

Pertubuhan Youth Against Settlements mendedahkan beberapa foto insiden tersebut yang menunjukkan Hadeel tidak menunjukkan sebarang tanda ancaman kepada tentera. Bahkan beliau berada dalam jarak yang jauh daripada tentera. Sebaliknya tentera Zionis mengacukan senjata mereka ke arah Hadeel, menyebabkan beliau kemudiannya berpaling dan lari dari arah tentera.

Foto turut menunjukkan bagaimana Hadeel dibiarkan terbaring berdarah di atas jalan selepas cedera ditembak.

Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin cuba membantu mangsa tetapi dihalang oleh tentera Zionis. Sebuah ambulan Zionis kemudian tiba dan membawa mangsa dari tempat kejadian.

Manakala rakaman video yang didedahkan oleh agensi berita PalMedia menunjukkan Hadeel dibiarkan berdarah di atas laluan pejalan kaki sehingga 30 minit, sambil diperhatikan begitu sahaja oleh tentera bersenjata berat dan pendatang Yahudi, sebelum mendapat bantuan. Hadeel juga diheret dalam keadaan tercedera supaya terlindung daripada sudut pandangan kamera.

Hadeel meninggal dunia di pusat rawatan Shaare Zedek di Al-Quds setelah melalui pembedahan sejurus tiba di hospital tersebut.

Beliau adalah seorang pelajar tahun pertama di Universiti Hebron.

Seramai 25 penduduk Palestin dibunuh oleh tentera Zionis sejak awal tahun 2015.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts