AL-KHALIL, 10 Dis 2015 (ISM) — Sejak 15 hari lalu keluarga Abu Shykri Al-Atrarshi tidak dapat memasuki dua tingkat atas rumah mereka kerana tentera Zionis menduduki rumah tersebut secara haram dan menjadikannya sebagai pengkalan tentera.
10 askar Zionis secara tiba-tiba memecah tingkap rumah mereka di kejiranan Abu Sheineh di Al-Khalil, mengambil kunci dan mengarahkan supaya keluarga Al-Atrarshi mengosongkan rumah mereka di tingkat tiga. Mereka bertindak tanpa sebarang alasan ataupun arahan bertulis, dan tidak menghiraukan bantahan keluarga Al-Atrarshi. Kini tingkat tiga rumah mereka, dan juga kawasan bumbung, menjadi kawasan larangan tentera.
Sejak kehadiran tetamu yang tidak diundang lagi ganas itu, tingkap-tingkap rumah dipecahkan dan tangki utama bekalan air dibocorkan. Mereka bahkan mencuri semua selimut yang ada di situ untuk diguna bagi mengeringkan basahan air yang keluar dari tangki tersebut. Apabila tangki tersebut dibaiki, tentera ganas ini mencemarkan airnya dan menjadikan bangunan serta bumbungnya sebagai tandas mereka.
Mereka tidak pernah meninggalkan rumah tersebut, di mana beberapa kumpulan datang secara bergilir dalam sehari. Mereka keluar dan masuk sesuka hati, sehinggakan kanak-kanak tidak lagi berani keluar berseorangan.
Kawasan bumbung rumah tersebut digunakan sebagai menara pemerhati, dan sering juga digunakan sebagai lokasi strategik untuk melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah kawasan berdekatan.
Rumah tiga tingkat itu menjadi tempat berteduh kepada 13 ahli keluarga, termasuk seorang anak yang cacat. Kini mereka terpaksa bersesak dalam dua tingkat yang sempit.
Mereka tidak pernah tahu bilakah kumpulan tentera ganas tersebut akan meninggalkan rumah mereka, atau apakah mereka akan tetap kekal di situ sehingga keluarga Al-Atrarshi dapat kembali duduk semula secara bebas.
Abu Shykri Al-Atrarshi telah melantik seorang peguam untuk membantu beliau. Kes beliau telah didaftarkan di sebuah mahkamah Zionis di Haifa, tetapi ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan, atau juga bertahun-tahun, untuk diproses.
Beliau yakin bahawa kumpulan tentera Zionis itu sebenarnya cuba untuk menghalau keluarganya keluar dari bangunan tersebut, tetapi beliau tetap bertekad untuk kekal di situ.