[Video] Dua Penduduk Palestin Ditembak Mati

BETHLEHEM, 10 Nov 2015 (Maan) — Seorang remaja meninggal dunia dan seorang lelaki tercedera ditembak tentera Zionis selepas dituduh menyerang askar dalam dua kejadian berasingan di Tebing Barat.

Mohammad Abed Nimir, 37 tahun, ditembak mati oleh sekumpulan pengawal bersenjata di kawasan penempatan haram Al-Musara. Beliau dituduh cuba menyerang askar Zionis, namun laporan saksi mengesahkan bahawa mangsa sedang berjalan berhampiran beberapa buah kedai dan tiba-tiba dikejar oleh para pengawal tanpa sebarang alasan. Beliau tidak membawa sebarang senjata atau pisau, sebagaimana dituduh oleh pihak Zionis.

Mohamad Abed, seorang penduduk di bandar Al-‘Eesiwiyya, meninggalkan tiga anak lelaki.

Tentera Zionis memecah masuk dan menggeledah rumah mereka, merosakkan harta benda dan mengganggu serta menghina ahli keluarga. Bapa mangsa dan dua saudaranya turut ditahan selama beberapa jam.

Dalam kejadian berasingan lewat semalam Sadeq Ziad Gharbiyeh, 16 tahun, yang berasal dari bandar Sanur di tenggara Jenin ditembak mati apabila dikatakan cuba menikam seorang pengawal sempadan Zionis di sebuah sekatan keselamatan berdekatan Abu Dis di Al-Quds Timur. Tentera Zionis menuduh mangsa cuba menikam seorang askar.

Pemandu teksi yang membawa mangsa dan beberapa orang penumpang lain bagaimanapun berkata tentera Zionis menahan kenderaan dan memaksa penumpang keluar untuk diperiksa kad pengenalan dan badan mereka. Beliau menambah, selepas selesai urusan pemeriksaan, semua penumpang diarah masuk semula ke dalam kenderaan.

Sadeq dikatakan tertinggal telefon bimbit ketika tentera melakukan pemeriksaan. Beliau berjalan beberapa kaki dan menunjukkan isyarat kepada tentera bahawa beliau tertinggal telefon. Namun tentera terus menembak beliau.

“Tidak ada alasan untuk mereka menembak,” kata pemandu teksi tersebut. “Mereka sengaja membunuh beliau dan menutup sekatan. Saya bawa dia dari Bethlehem ke Ramallah, itu saja. Di sini, saya masih pegang beg beliau, ada buku-buku di dalamnya. Lihat, keputusan peperiksaan semuanya 9 daripada 10….”

Berikutan kejadian tersebut, tentera menutup laluan sekatan di kedua-dua hala serta menghalang ambulan daripada mendekati mangsa yang ditembak. Tentera juga melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah kenderaan yang sedang menunggu di sekatan tersebut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan di pihak rejim Zionis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts