Warga Baitulmaqdis bantah kunjungan aktivis pro-Zionis ke Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 23 Jul 2019 — Warga Baitulmaqdis semalam membantah dan mengusir seorang aktivis media sosial dari Arab Saudi dari kawasan Masjid al-Aqsa, memaksa beliau beredar keluar menuju ke lorong-lorong di kota suci itu.

Aktivis terbabit, Muhammad Suud, merupakan salah seorang anggota delegasi jurnalis dan aktivis media sosial Arab dan negara Teluk yang dijemput khusus oleh Kementerian Luar Zionis.

Dalam posting sebuah rakaman video di laman sosial beliau, Muhammad menyebut, “Saya Muhammad Suud dari Saudi, saya ingin memberitahu anda melalui video ini bahawa saya sangat mencintai negara ini [negara haram Zionis] yang telah menginspirasi dunia. Saya mencintai negara ini kerana telah menjadi ikon kebebasan dan demokrasi. Di negara ini anda temui kebebasan beragama. Setiap orang boleh melakukan syiar agamanya, dan ia merupakan suatu yang baik. Semua orang dapat beribadah secara bebas, ini merupakan fenomena bagi semua, dan kita semua di Timur Tengah dapat hidup dengan damai dan terhormat.”

Penduduk Baitulmaqdis melempar kerusi plastik dan menganggap beliau sebagai pengkhianat yang pro-Zionis. Ketika dibawa masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa, beliau melalui Pintu al-Magharebah yang dikawal penuh oleh tentera Zionis, di mana penduduk Islam dilarang melalui pintu tersebut.

Satu delegasi enam orang jurnalis dan aktivis media sosial dari negara-negara Arab dan Teluk berkunjung ke Baitulmaqdis atas jemputan kementerian Luar rejim Zionis. Mereka termasuk jurnalis dari Arab Saudi, Bahrin, Kesatuan Emirat Arab, Iraq dan Mesir.

Kenyataan Kementerian Luar Zionis menyebut mereka akan dibawa berkunjung ke Muzium Peringatan Holocaust (Yad Vashem), tapak-tapak suci di kota Baitulmaqdis, serta parlimen Zionis (Knesset). Selain bertemu dengan ahli-ahli parlimen dan pegawai-pegawai Kementeria Luar Zionis, delegasi tersebut juga akan dibawa melawat ke kawasan utara Wilayah Palestin Yang Terjajah, kota Haifa, Nazareth dan Tel Aviv.

Jemputan tersebut mempamer hubungan semakin erat antara rejim Zionis dan dunia Arab, terumatanya negara-negara Teluk. Khamis lalu, Menteri Luar Zionis, Israel Katz, bertemu dengan rakan sejawatannya dari Bahrain, Khaled al-Khalifa, di Washington. Beberapa minggu lalu, wakil-wakil media Zionis dijemput ke Bahrin untuk membuat liputan bengkel ekonomi yang ditaja oleh Amerika.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts