Zionis arah halang jenazah Dr. Fadi dibawa pulang ke Gaza

BAITULMAQDIS, 22 April 2018 — Menteri Perang Zionis, Avigdor Lieberman, hari ini menyatakan bahawa beliau tidak akan benarkan jenazah Dr. Fadi Mohammad al-Batsh di bawa pulang ke Gaza.

“Namun jika mereka cuba membawa masuk melalui Mesir dan Pintu Lintasan Rafah, kami tidak dapat mengawal hal tersebut,” kata beliau. Bagaimanapun, laporan media menyebut beliau telah mendesak pihak berkuasa Mesir supaya menghalang cubaan itu.

Sementara Menteri Pelajaran Zionis, Naftali Bennett, juga bekerja keras memastikan jenazah Dr. Fadi tidak dibawa masuk ke Gaza sehinggalah mayat tentera Zionis yang ditahan atau hilang di Gaza diserahkan kembali.

Dr. Fadi, 35, telah ditembak mati dari jarak dekat oleh dua orang yang tidak dikenali sekitar jam 6:00 pagi semalam, ketika beliau sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Medan Idaman Setapak.

Beliau yang tinggal di Malaysia sejak 10 tahun lalu merupakan seorang pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – British Malaysian Institute (UniKL-BMI). Beliau mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya pada tahun 2015.

Dr. Fadi yang berasal dari Jabaliya di utara Gaza merupakan seorang saintis yang dihormati dan mendapat pengiktirafan tinggi di Malaysia. Di samping mendapat sanjungan dalam kajian beliau tentang sumber tenaga yang boleh diperbaharui, beliau juga seorang hafiz al-Quran.

Bapa beliau memohon kepada pihak berkuasa Malaysia supaya menghantar jenazah Dr. Fadi pulang ke Gaza serta membuat siasatan segera tentang pembunuhan tersebut.

Pada tahun 2009, seramai 18 ahli keluarganya di Gaza telah dibunuh oleh tentera Zionis.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts