BEIT LAHM, 30 Mac 2016 (Maan) — Tentera penjajah Zionis menangkap sekurang-kurangnya 19 penduduk Palestin dalam operasi awal pagi tadi di beberapa daerah Tebing Barat dan Al-Quds Timur.

Di daerah Nablus, tentera Zionis menceroboh masuk bandar Huwwara dan menangkap lima remaja iaitu Yazan Tariq, Mahmoud Faris, Yahya Ismail, Yousif Saod, dan Mahmoud Saod.

Di Jenin pula, tentera memasuki kem pelarian Jenin dan menggeledah beberapa buah rumah sebelum menahan tiga pemuda, Mustafa al-Tubasi, Issam Abu Jabal, dan Tawfiq al-Shalabi.

Manakala di Beit Lahm, tentera penjajah menahan Muhannad Hajahja dan Ahmad Khalid al-Umour, 17 tahun, dari perkampungan Tuqu, dan Hussein Abu Aker dari kem pelarian Aida.

Tentera Zionis juga dilaporkan menyerang rumah penduduk di al-Khalil, di mana Abd al-Rahman Hmeidat ditahan di rumahnya di Bani Naim dan Ayman Yousif al-Tal dari al-Dhahiriyya juga ditangkap.

Di daerah Ramallah, tentera menyerang masuk al-Bireh dan Silwad namun tidak ada tangkapan dilaporkan.

Menurut laporan Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), tentera Zionis secara purata menjalankan 88 operasi pemeriksaan dan penangkapan ke atas penduduk Palestin setiap minggu pada tahun lalu.

Kini lebih 7,000 penduduk Palestin merengkok dalam penjara dan pusat tahanan Zionis, termasuk 450 orang kanak-kanak.

SHARE