7 pemuda Gaza cedera ditembak tentera Zionis

GAZA, 1 Okt 2018 — Sekurang-kurangnya tujuh pemuda Gaza cedera ditembak oleh tentera penjajah Zionis di sempadan timur Gaza awal malam tadi, di mana dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian di timur kem pelarian al-Bureij, tentera Zionis melepaskan tembakan sengit ke arah penduduk Palestin yang menyertai perhimpunan Great Return March (GRM). Tiga penduduk tercedera dan dikejarkan ke Hospital al-Aqsa di daerah Deir al-Balah. Salah seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Di samping itu, dua lagi pemuda ditembak berdekatan kawasan pagar di timur Khan Younis. Mereka dikejarkan ke Hospital Nasser di Khan Younis, di mana salah seorang daripadanya dalam keadaan kritikal.

Serangan turut berlaku di kawasan tengah al-Amaghazi, Khuza’a dan juga Jabalia. Tentera menggunakan peluru hidup, bom gas pemedih mata berkelajuan tinggi, serta bom pelali untuk menyasarkan penduduk.

Jumaat lalu, tentera Zionis telah membunuh tujuh penduduk Gaza termasuk dua kanak-kanak. Manakala 506 yang lain tercedera, termasuk 90 orang yang terkena tembakan peluru hidup.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts