[Foto] Pemuda Palestin ditembak mati di Ramallah

RAMALLAH, 3 Mei 2016 (Maan) — Pemuda Palestin Ahmed Riyad Abd al-Aziz Shehada, 36, yang berasal dari kem pelarian Qalandiya ditembak mati apabila beliau dituduh sengaja melanggar askar Zionis berdekatan penempatan haram Dolev di barat laut Ramallah petang tadi.

Insiden yang berlaku di sebatang jalan di antara sekatan Beituna dan Ein Arik itu menyebabkan tiga orang askar penjajah cedera, seorang daripadanya parah.

Menurut saksi, pemandu lori itu terkejut kerana secara tiba-tiba sekumpulan tiga orang askar melintas jalan dan mengarahkan beliau menghentikan kenderaannya. Ahmed Riyad memandu lari meninggalkan tempat kejadian kerana ketakutan setelah terlanggar askar-askar Zionis tersebut.

Tentera yang berada di sekatan Beituna mengepung kenderaan tersebut dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah Ahmed Riyad, kemudian menarik beliau keluar dan sekali lagi melepaskan tembakan ke badan mangsa.

Ambulan Bulan Sabit Merah Palestin dihalang mendekati mangsa untuk membantu, di mana beliau dibiarkan berdarah sehingga meninggal dunia di situ. Pihak Zionis kemudiannya menculik mayat mangsa.

Susulan insiden, tentera Zionis bertindak memasang sekatan jalan dan menutup jalan utama ke Ramallah. Mereka turut melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin dan kenderaan mereka yang terperangkap di sekatan jalan, menyebabkan ramai yang mengalami sesak nafas.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts