Imam Palestin dan Malaysia Berganding Pimpin Solat Terawih Di Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2015 (BHP) — Ramadan kali ini sekali lagi mengeratkan persaudaraan umat Islam, di mana seorang imam hafiz dari Palestin telah bergandingan dengan seorang imam tempatan untuk memimpin solat terawih di Parlimen Malaysia. Imam Baha Adeen Ahmad Ismail Alkilany, yang dibawa oleh HALUAN Malaysia dengan kerjasama Al-Sarraa Foundation untuk menjayakan program Ramadan 1436H Bersama Huffaz, telah dijemput bersama dalam satu majlis di parlimen yang dianjurkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Majlis yang dimulai dengan berbuka puasa itu turut dihadiri beberapa orang kenamaan, antaranya Yang DiPertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim dan YB Senator Dato’ Seri Wahid Omar, serta Timbalan Menteri di Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Senator Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah.

Imam Baha Adeen Ahmad Ismail Alkilany kemudiaannya mengimamkan solat Isyak dan dan diikuti dengan solat terawih secara bergilir dengan seorang imam tempatan.

Selepas solat terawih, satu majlis tazkirah telah disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perlis, YBhg Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin. Antaranya, beliau menekankan tentang keperluan kepada pemimpin yang kuat (qawiy) dan boleh dipercayai (amin). Beliau turut menegaskan akan kepentingan kemahiran dalam memimpin, dan mereka tidak hanya menjadi orang faqih dalam beragama sahaja.

Kutipan tabung juga dilancarkan bagi mengumpul dana untuk pembinaan sebuah masjid di Seville, Sepanyol.

Majlis berakhir dengan solat witir yang dipimpin Imam Baha Adeen Ahmad Ismail Alkilaniy dan diikuti dengan jamuan moreh sambil ramah mesra di antara hadirin, termasuk para VIP.

HALUAN sekali lagi akan menganjurkan pameran dan kutipan tabung Palestin di tempat yang sama pada 3 Julai 2015 akan datang.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts