Impak Ziarah Ulama Besar Islam Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Ke Gaza

GAZA-PALESTIN, 9 Mei 2013 – Bergegar gempita bumi bertuah Gaza Palestin. Setelah sekian lama dihalangi daripada memijak bumi Palestin dek karenah birokrasi rejim lama Mesir di bawah telunjuk Israel dan Amerika, akhirnya ulama besar Ustaz Syeikh Yusuf Al-Qardhawi berjaya memasuki Semenanjung Gaza untuk berziarah dan bersilaturahim dengan warga Gaza yang masih dalam serba dhaif kerana pelbagai sekatan hak kemanusiaan oleh zionis Israel.

Kedatangan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi memberi gambaran kepada dunia bahawa persoalan Palestin tidak hanya persoalan bagi warga Palestin dan dunia arab akan tetapi menjadi tanggungjawab bagi seluruh umat Islam sedunia.

Puluhan ribu warga Semenanjung Gaza Palestin memenuhi padang hijau yang terletak di Gaza City, dengan kedatangan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi seakan meniup semangat baru bagi warga Gaza ini.

Perdana Menteri Palestin, Syeikh Ismail Haniyah diiringi dengan petugas diplomatik serta kawalan ketat meraikan majlis sambutan yang meriah tetapi sederhana pada saat Syeikh Yusuf Al-Qardhawi tiba di sempadan Rafah. Dengan penuh bangga, Ismail Haniyah bersalaman dan mencium tangan dan kepala Syeikh Yusuf Al-Qardhawi atas nama rakyat Palestin yang menyanjungi jasa beliau.

Upacara bermula dengan pembacaan ayat suci Al-Qur’an dilanjutkan dengan ikrar bahawa “Satu saat nanti kami akan kembali dan mengembalikan hak kami dengan izin Allah SWT”. Ikrar ini pun dimeterai bersama.

Kehadiran Syeikh Yusuf Al-Qardhawi diiringi dengan gema takbir seakan menggoncang pentas yang sudah disiapkan dua hari sebelumnya, dengan berdiri di podium Syeikh Yusuf Al-Qardhawi pun melakukan upacara ikrar bersama dengan warga Semenanjung Gaza.

Intisari ucapan dimulai oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi bahawa orang Israel tidak punyai hak terhadap tanah Palestin dan tidak berhak mendiami tanah Palestin apatah lagi melarang warga Palestin melaksanakan solat di Masjid Al-Aqsa yang menjadi maruah umat Islam di seluruh dunia. Beliau menegaskan yang kemenangan yang diraih oleh pejuang Palestin adalah atas pengorbanan darah para syuhada seperti Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yassin, Asy-Syahid Abdul Aziz Rantisi, Izzuddien Al Qassam dan para syuhada lainnya, agar Allah SWT menempatkan mereka di syurga Firdaus, amin.

Palestin adalah milik umat, maka umat ini bertanggungjawab membebaskan bumi Palestin. Tidak ada yang dapat melarang sesiapa pun untuk masuk ke Gaza dan pada ketika ini sesiapa pun lebih mudah masuk ke Gaza berbanding dahulu kerana inilah hasil keberkahan daripada perubahan yang terjadi akibat reformasi di Mesir yang telah merubah persepsi terhadap nasib Gaza dan rakyatnya.

Persoalan Palestin adalah persoalan seluruh umat sejagat, hak Islam untuk pergi ke Masjid Al-Aqsa untuk bersolat di sana. Seluruh umat Islam ingin berjuang tidak lain dan tidak bukan kerana ingin mencari redha Allah SWT.

Seluruh umat Islam dalam persoalan ini, tidak hanya terbatas kepada orang arab akan tetapi sebahagian besar negara pun ingin turut serta dalam membela tanah Palestin untuk membebaskan masjid Al Aqsa seperti Malaysia, Indonesia dan negara lainnya yang selalu berlumba-lumba memperjuangkan hak umat ini.

Kata Syeikh Yusuf Al-Qardhawi lagi, negara ini harus kita angkat martabatnya, sebagai lelaki yang berjuang menegakkan negara Palestin yang dicabuli dan dirampas oleh zionis dengan sokongan barat. Kita sebagai umat Islam patut malu jika di negara Palestin ini ada saudara-saudara kita yang dizalimi oleh yahudi.

“Kami datang ke Gaza atas nama ulama dari negara arab dan mengatakan yang kami akan sentiasa berada dalam memperjuangkan tanah Palestin ini. Kami akan selalu berjihad dengan jiwa kami, dengan harta kami, dan dengan ilmu yang kami miliki dan dengan segala kemampuan yang kami miliki,” kata beliau lagi.

“Kita bersama-sama memperjuangkan dan mengembalikan hak kita. Kita harus mengangkat senjata demi harga diri Islam yang telah diinjak-injak oleh yahudi. Wahai rakyat Gaza, kesabaran kalian adalah nilai yang sangat berharga. Kalian harus yakin bahwa satu saat nanti kalian akan mencapai kemenangan, jika kita menolong agama Allah maka tidak perlu khuatir Allah SWT akan menolong kita dan akan memberi kemenangan, intan surullah yan surukum.”

Katanya lagi, kita berjuang untuk Allah, kita harus saling mendoakan, dan kalian tidak boleh saling berpaling ke belakang. Kalian harus bersatu kerana dengan bersatu maka kita akan mendapat kemenangan dan memiliki kekuatan yang sangat dahsyat. Kalian harus merapatkan barisan dan harus bersatu keluarga di antara Gaza dan Tebing Barat. Kami yakin bahawa kalian orang Palestin adalah orang-orang yang ikhlas dan ingin merdeka dan bebas daripada cengkaman yahudi.

Marilah bersatu ibarat satu bangunan, saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Mari kita bergandingan tangan ibarat satu tubuh, Allah SWT akan menyatukan hati kita dan langkah kita.

Hari ini, hari Gaza, hari Palestin, dengan satu suara satu tujuan dengan didukung oleh keimanan kita. Yakinlah bahawa Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada Gaza, kepada Palestin, masjid Al Aqsa dan kepada Islam dan kepada seluruh umat Islam.

———

Laporan Abdillah Onim, wartawan mediaHALUAN, Gaza.

**Saudara Abdillah sedang berusaha membina rumah anak yatim, fakir miskin dan janda syuhada di Gaza-Palestina. Beliau boleh dihubungi di onim.gaza@gmail.com/bberry; 25C63245

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts