Sumpah taat setia – langkah pelaksanaan “Negara Yahudi”

Perancangan rejim haram Israel untuk meluluskan usul bagi memaksa sesiapa yang ingin menjadi rakyat negara itu mengangkat sumpah taat setia kepada Israel sebagai sebuah “negara Yahudi yang berdemokrasi” dilihat sebagai satu langkah bagi merealisasikan cita-cita sebuah negara khusus untuk kaum Yahudi.

Netanyahu ketika mempengerusikan sesi kabinet, September 2010
Netanyahu ketika mempengerusikan sesi kabinet, September 2010

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Benjamin Netanyahu hari Rabu lalu telah memperkenalkan agenda kontroversi ini. Dengan mengubah undang-undang kerakyatan yang sedia ada, usul ini akan menyelitkan satu phrasa yang berbunyi, “Saya bersumpah untuk menghormati undang-undang negara Israel sebagai sebuah negara Yahudi dan berdemokrasi.”

Cadangan ini yang mendapat sokongan Netanyahu dan beberapa orang ahli politik Israel yang lain, akan diusulkan untuk persetujuan Kabinet pada hari Ahad ini.

Pengiktirafan Israel sebagai sebuah negara Yahudi menjadi salah satu syarat yang dikenakan oleh Tel Aviv dalam mana-mana persetujuan damai dengan Palestin.

Pihak Otoriti Palestin sebenarnya telah bersetuju untuk mengiktiraf negara Israel, tetapi menolak tuntutan mengiktiraf karakterisktik Yahudinya.

Yang jelas, sebarang pengiktirafan kepada Israel sebagai sebuah negara Yahudi akan menghapuskan hak bagi pelarian-pelarian Palestin yang dihalau Israel untuk pulang ke bumi asal milik mereka. Dalam masa yang sama, tindakan ini akan memberi laluan kepada Zionis untuk menghalau saki-baki bangsa Palestin yang masih tetap di wilayah-wilayah yang dijajah supaya keluar merempat ke bumi yang tidak siapa tahu di mana.

Pengiktirafan negara Israel merupakan suatu perkara yang sangat kontroversi bagi bangsa Arab di sekeliling bumi Palestin.

Contoh jelas dapat diambil ketika aktivis-aktivis kemanusiaan berada di dalam bas-bas penjara Israel sebelum dideportasi ke Jordan selepas peristiwa serangan kapal Mavi Marmara awal bulan Jun lalu.

Mereka yang ditangkap dan dipaksa memasuki Israel setelah diserang di tengah lautan antarabangsa itu terpaksa menunggu lama di dalam bas di King Hussein Bridge kerana berdegil untuk tidak menanda-tangani dokumen deportasi yang diwajibkan oleh pegawai Israel. Sebenarnya bukanlah suatu proses yang susah sangat untuk menurunkan tandatangan dan seterusnya mengucap selamat tinggal kepada bumi Palestin yang terjajah itu. Tetapi bagi mereka, setitik dakwat yang terpalit di atas kertas deportasi itu bermakna mereka memberi pengiktirafan kepada kewujudan sebuah negara Israel.

Semua aktivis terus bertegas dengan pendirian mereka, dan akhirnya setelah beberapa jam tertangguh pegawai-pegawai Israel terpaksa mengalah. Kerana apa? Kerana Zionis sebenarnya tidak ada sedikit pun hak untuk memaksa apa-apa ke atas aktivis-aktivis tersebut, samada menurunkan tandatangan mahupun mengiktiraf negara Israel. Kerana sejak awal lagi apa yang mereka lakukan ke atas negara dan bangsa Palestin adalah sebenarnya haram dan bertentangan dengan apa jua bentuk undang-undang antarabangsa. (mn/HP)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts