BAITULMAQDIS, 21 Okt 2018 — Kabinet Keselamatan Zionis hari ini meluluskan penangguhan arahan meroboh perkampungan Badwi di Khan al-Ahmar, timur Baitulmaqdis, untuk tempoh selama beberapa minggu lagi.

Terdahulu, pemimpin Zionis Benjamin Netanyahu, memutuskan untuk memohon penangguhan arahan mengusir penduduk Badwi di perkampungan Khan al-Ahmar dan meroboh perkampungan tersebut, walaupun Mahkamah Tinggi Zionis telah meluluskan perobohan.

Menurut Netanyahu, pengusiran 181 penduduk Badwi, separuh daripadanya kanak-kanak, ditangguhkan “buat seketika” bagi kabinet Zionis merangka jadual pemindahan.

Sementara itu, Menteri Perang Zionis, Avigdor Lieberman, mengecam serta membantah keras keputusan tersebut.

September lalu, Mahkamah Tinggi Zionis memberi tempoh sehingga 1 Oktober untuk memindahkan penduduk Khan al-Ahmar, bagi membolehkan perkampungan mereka diroboh “mengikut undang-undang”.

Khan al-Ahmar terletak dakan Kawasan C, iaitu lebih 60% wilayah Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis.

Perjanjian Oslo 1995 membahagikan wilayah Tebing Barat kepada Kawasan A, B dan C. Perjanjian tersebut bersetuju bahawa kawalan tentera Zionis ke atas Kawasan C diserahkan secara beransur-ansur kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam tempoh lima tahun. Namun selepas dua dekad, Kawasan C kekal berada di bawah kawalan tentera Zionis.

(Maan, IMEMC)

SHARE