Kanak-kanak al-Khan al-Ahmar mula sesi persekolahan lebih awal

BAITULMAQDIS, 16 Julai 2018 — Kementerian Pendidikan Palestin hari ini memulakan sesi baharu persekolahan khusus untuk al-Khan al-Ahmar, dalam keadaan kawasan perkampungan tersebut kini dikepung dan bakal diroboh oleh tentera Zionis.

Lebih 170 kanak-kanak hadir bersama keluarga mereka dalam majlis yang turut disertai oleh Menteri Pendidikan, Sabri Saidan, serta para aktivis.

Sesi persekolahan dibuka lebih awal di al-Khan al-Ahmar sebagai langkah strategik bagi menolak rancangan rejim Zionis meroboh perkampungan itu serta memaksa penduduknya pindah keluar. Ia juga bertujuan untuk menangani gangguan ke atas sesi pembelajaran yang mungkin akan berlaku berikutan rancangan rejim Zionis itu.

Lazimnya, sesi persekolahan di Palestin bermula pada bulan September.

Rancangan meroboh al-Khan al-Ahmar merupakan sebahagian daripada projek mega yang dirancang oleh Menteri Pertanian Zionis, Uri Ariel, pada tahun 1979 untuk menghalau masyarakat Badwi dari kawasan Baitulmaqdis Timur.

Mahkamah Agung Zionis memutuskan untuk menangguh perobohan al-Khan al-Ahmar sementara menunggu keputusan terhadap satu petisyen bantahan.

(WAFA, PIC, Maan, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts