Kebumikan aku di Palestin, di kuburku tulislah bahawa aku bukan lagi seorang pelarian

BEIT LAHM, 27 Apr 2016 (PNN) — Ahmad Younes dan keluarganya selamat buat masa ini, tetapi segalanya mungkin akan berubah.

Sebagai sebahagian daripada persefahaman menyelesaikan isu pelarian di antara Kesatuan Eropah dan Turki, Ahmad dan ibunya mungkin akan diusir pulang sekiranya mereka tidak berjaya mendapatkan suaka di United Kingdom, negara yang kini menjadi tanah tumpangan mereka sejak meninggalkan kem pelarian Yarmouk di Syria hampir dua tahun lalu.

Kisah hidup Ahmad hanyalah salah satu daripada ribuan pengalaman ngeri para pelarian cuba menyelamatkan dan melangsungkan hidup keluarga mereka. Sejak tahun 2011, dianggarkan 110,000 pelarian Palestin seperti Ahmad dan keluarganya terpaksa lari meninggalkan Syria.

Pelarian Palestin, yang terperangkap di antara saingan kumpulan-kumpulan bersenjata dan kepungan serta kebuluran, merupakan kumpulan mangsa yang paling terdedah kepada konfik brutal di Syria. Masyarakat yang bumi asal mereka dirampas oleh rejim Zionis pada tahun 1948 ini telah sejak berdekad menumpang hidup di 31 buah kem pelarian yang dikelolakan oleh PBB di Jordan, Lubnan dan Syria.

Pengalaman Ahmad dan keluarganya melarikan diri dari Syria telah mendapat perhatian Medical Aid for Palestinians (MAP), sebuah pertubuhan dari Britain yang memberi bantuan rawatan kesihatan kepada pelarian di seluruh Timur Tengah.

Dengan hanya sehelai sepinggang, ibu, adik perempuan dan sepupu Ahmad mengorak langkah dengan menaiki bot, keretapi, bahkan juga berjalan kaki untuk sampai ke Eropah tanpa sebarang makanan dan air minum.

Sepanjang tempoh menaiki bot, yang mengambil masa selama 12 hari, keluarganya hidup dengan bergantung hidup dengan memakan roti berkulat dan bekalan air minum yang sangat terhad.

Sungguhpun dipukul oleh polis dari pelbagai negara, dan dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan penjenayah dan penyeludup, mereka akhirnnya berjaya beredar dari Turki dan tiba di Itali. Hampir setahun kemudiannya, Ahmad sekali lagi merentas perjalanan yang sangat bahaya, terpaksa hidup selama beberapa bulan di kem pelarian Calais di Perancis sebelum tiba di UK.

Pada masa mereka tiba, adik perempuan serta sepupunya yang berumur enam tahun mendapat perlindungan suaka. Namun Ahmad dan ibunya terus berhadapan dengan kerenah undang-undang.

Bagi pelarian seperti Ahmad dan ibunya, berhadapan dengan kemungkinan dihantar pulang dari Eropah sekali lagi mengimbas episod pengusiran mereka dari bumi Palestin.

Sungguhpun rakyat Palestin mendapat hak dan peluang yang berbeza-beza di negara asing, apa yang menjadi aspirasi tunggal mereka adalah keinginan mendalam untuk pulang ke bumi asal di mana mereka telah diusir keluar.

Ketika berada di kem pelarian Calais, Ahmad telah melakarkan satu tanda yang benar-benar mencerminkan perasaannya, memaparkan betapa pedihnya hidup dalam buangan, dan harapannya yang mendalam untuk kembali ke tanahairnya.

Ia berbunyi: “Bila aku mati, kebumikan aku di Palestin dan tulislah di atas kuburku bahawa aku bukan lagi seorang pelarian.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts