Kenali Kota Lama Baitulmaqdis – Tembok Al-Buraq

Pemandangan Tembok al-Buraq dari arah barat.

Kota Lama Baitulmaqdis menempatkan tapak-tapak suci bagi ketiga-tiga agama Samawi – Islam, Kristian dan Yahudi.

Di sinilah terletaknya Masjid al-Aqsa dan Kubah as-Sakhra’, tapak yang ketiga paling suci bagi umat Islam selepas kota Mekah dan Madinah. Bagi kaum Yahudi, tapak ini digelar sebagai Bukit Haikal (Temple Mount).

Di kota ini juga terdapat gereja Kristian Holy Sepulcher dan Tembok al-Buraq, yang juga digelar sebagai Tembok Ratapan kaum Yahudi (Western Wall, Wailing Wall, Solomon Wall atau Ha-Kotel Ha-Ma’aravi).

Tembok al-Buraq merupakan sebahagian daripada dinding atau tembok sebelah barat Masjid Al-Aqsa, yang terletak di antara Pintu al-Magharibah di sebelah selatan dan Madrasah Tankaziah (Mahkamah Syariah) di sebelah utara. Tingginya hampir 20 meter dan lebarnya ialah 57 meter. Ia dikenali dengan nama Tembok Al-Buraq kerana Nabi Muhammad SAW mengikat Buraq padanya ketika peristiwa besar Israk dan Mikraj.

Hanya selebar 57 meter daripada Tembok Ratapan dapat dilihat dari luar. Lebar sebenarnya adalah 488 meter. Video di atas menunjukkan kawasan Gerbang Wilson, bahagian tembok yang tertutup di sebelah kiri Dataran Ratapan.

Asalnya, kawasan Dataran Ratapan adalah tapak penempatan yang digelar Kuarter Maghribi (Maghribi Quarter), yang telah diwakafkan oleh al-Afdal iaitu adik kepada Salahuddin Ayyubi bagi membantu para hujaj yang berasal dari utara Afrika dan miskin. Al-Afdal turut membina sebuah madrasah tempat pengajian Fikh al-Maliki. Pada zaman Mamluk, banyak lagi madrasah dibina di sepanjang tembok ini, kecuali di kawasan sepanjang kira-kira 22 meter antara Jalan al-Silsila dan Pintu al-Magharibah.

Masyarakat Yahudi tidak pernah menghiraukan tembok tersebut dan tidak menganggap ianya sebagai suatu simbol keagamaan. Namun semenjak pertengahan awal kurun ke-19, mereka mendakwa terdapat satu batu besar di bawah Tembok Al-Buraq, yang sejarahnya bermula sejak zaman Rom. Mereka percaya batu tersebut sebagai satu-satunya baki binaan kuil mereka yang dirobohkan oleh tentera Rom, dan merupakan dinding sebelah barat bagi kuil tersebut.

Dikatakan batu tersebut adalah salah satu objek yang paling berat pernah diangkat oleh manusia tanpa menggunakan mesin. Ia berukuran 13.6 meter panjang, dengan kelebaran antara 1.5 hingga 4.5 meter, dan dianggarkan seberat 570 tan. Namun sejarawan Arab percaya ia hanyalah sebahagian daripada struktur tembok Masjid al-Aqsa.

Sebahagian daripada lapisan batu tembok di bawah tanah.

Tembok tersebut dibina dengan 45 lapisan batu, 28 daripadanya di bawah tanah dan 17 lagi di atas tanah. Tujuh lapis pertama merupakan binaan dari zaman Dinasti Herod. Manakala empat lapisan seterusnya dibina di zaman Umayyad. Selebihnya, 17 lapisan batu-batu bersaiz kecil dari zaman Mamluk.

Lapisan-lapisan binaan batu di Tembok al-Buraq.

Beberapa kurun selepas era Roman, penganut Yahudi mula berkumpul di Baitulmaqdis untuk melakukan ritual di Tembok Rapatan ataupun Bukit Zaitun. Tembok Ratapan mula menjadi signifikan hanya sekitar tahun 1520, apabila kaum Yahudi mengembangkan fahaman bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki tapak suci itu (Bukit Haikal) kerana mereka tidak lagi beramal dengan ajaran agama seperti asalnya. Mereka sebaliknya berkumpul di hadapan tembok untuk melakukan ritual, dan sedikit demi sedikit tradisi tersebut menjadi seperti ajaran agama.

Kaum Yahudi menjadikan tembok tersebut sebagai tempat menangis di atas kehilangan kerajaan mereka sehinggalah ianya digelar sebagai Tembok Ratapan. Mereka juga menulis doa-doa di atas kertas, yang kemudiannya diselitkan di rongga-rongga celahan batu.

Doa-doa diselitkan dicelahan batu-batu di Tembok al-Buraq. Mulai bulan Julai 2009 seorang pelajar jurusan Ekonomi, Alon Nil, 25, melancarkan perkhidmatan secara percuma bagi sesiapa sahaja dari seluruh pelusuk dunia menulis doa mereka melalui Twitter, yang akan dicetak dan kemudian diselitkan di tembok tersebut.

Rekabentuk Kota Lama Baitulmaqdis dibina dalam kurun ke-16 oleh Sultan Sulaiman, pemimpin kerajaan Uthmaniah dari 1520 hingga 1566. Arkitek Turki yang terkenal Koca Sinan, yang juga mereka bentuk Masjid Sulaiman di Istanbul, dikatakan bertanggungjawab mereka tapak Kota Lama Baitulmaqdis dengan membuat penggalian untuk meninggikan Tembok Ratapan serta membina sebuah tembok selari dengannya, untuk memisahkan kawasan tersebut dari Kuarter Maghribi, membentuk lorong selebar 3.5 meter.

Sultan Sulaiman membina tembok batu yang ada pada hari ini pada tahun 1537. Ketika mereka membina tembok kota itu, Baginda mengeluarkan satu fatwa rasmi yang membenarkan kaum Yahudi melakukan ritual di Tembok Ratapan atas dasar toleransi agama.

Bangunan di Kuarter Maghribi di hadapan Tembok al-Buraq pada tahun 1931, termasuk sebuah masjid di zaman Salahudin (bulatan).

Terma status quo tapak-tapak suci yang ditetapkan dalam titah sultan Uthmaniyah pada tahun 1757, dan dikanunkan oleh satu ruruhanjaya kerajaan British pada tahun 1922, menetapkan bahawa tembok tersebut adalah harta orang Islam di bawah jagaan jabatan wakaf. Jabatan wakaf juga adalah pemilik sinagog Yahudi yang terletak di hadapan tembok itu. Bagaimanapun, kaum Yahudi dibenarkan berdiri di atas kawasan turapan di hadapannya untuk melakukan ritual.

Namun penduduk Baitulmaqdis membantah apabila kaum Yahudi mula membawa trompet dan peralatan-peralatan ritual yang lain, serta mereka merancang untuk menukarkan tembok tersebut sebagai gereja Yahudi dengan bantuan pihak berkuasa penjajah Britain di kota Baitulmaqdis.

Ini mengakibatkan tercetus satu revolusi yang dinamakan Revolusi Al-Buraq yang berlaku pada tahun 1929, yang menyebabkan Yahudi terpaksa membuat penangguhan untuk meyahudikan kawasan tersebut.

Selepas perang 1948 kaum Yahudi secara umumnya dilarang melakukan ritual di tembok tersebut sehinggalah Baitulmaqdis jatuh ke tangan penjajah Yahudi Zionis pada tahun 1967 di mana mereka telah menguasai tembok tersebut sepenuhnya dan Pintu Magharibah yang berdekatan dengannya.

Tanda jalan sebelum rejim Zionis merampas Baitulmaqdis pada tahun 1967.

Antara tindakan pertama tentera Zionis selepas merampas Baitulmaqdis Timur adalah memaksa 619 penduduk Palestin yang tinggal di Kuarter Maghribi berpindah keluar. Kemudian mereka membawa masuk buldozer dan memusnahkan kawasan yang bersejarah itu. Tindakan tersebut, yang mencabul Konvensyen Geneva, bertujuan untuk membina satu dataran yang cukup luas bagi ribuan orang Yahudi berkunjung ke Tembok Ratapan.

Semenjak itu, Zionis telah mengambil sepenuhnya Tembok Al-Buraq dan dataran yang berhadapan dengannya. Mereka juga menggali di sekitar dan di bawah Masjid Al-Aqsa untuk membina terowong-terowong, di bawah perancangan yang dinamakan al-Hasymunaim. Terowong ini bermula dari Dataran Al-Buraq di sebelah selatan sehinggalah ke Pintu Al-Ghawanimah di sebelah utara. Dari situ akan terpecah terowong-terowong lain antaranya terowong yang memanjang ke selatan sehingga sampai ke kawasan penduduk Islam di Silwan, yang terletak di sebelah selatan Masjid Al-Aqsa. Setengah terowong dipercayai dibina sehingga sampai ke kawasan bawah dataran atau kawasan lapang Masjid Al-Aqsa dan temboknya.

Kawasan sempit di hadapan Tembok Ratapan sebelum 1967.

Pihak penjajah Zionis telah membuang sebuah bukit kecil yang berada di jalan ke Pintu Al-Magharibah dengan tujuan meluaskan Dataran Al-Buraq meliputi kawasan selatan tembok yang terletak di selatan pintu tersebut. Satu jejantas besi dibina di tembok Al-Buraq, menghubungi Pintu Al-Magharibah dan ia membolehkan tentera Zionis dikerah secara besar-besaran ke dalam Masjid al-Aqsa bila keadaan memerlukannya.

Semua perancangan yang dilakukan oleh Yahudi ini, seperti penguasaan terhadap Tembok Al-Buraq dan Dataran Al-Buraq, menggali terowong-terowong, membuang bukit kecil di jalan ke Pintu Al-Magharibah dan selainnya, merupakan rangka kasar perancangan untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa kepada dua bahagian iaitu satu bahagian untuk kaum muslimin dan satu bahagian lagi untuk kaum Yahudi bagi membina semula gereja mereka.

Presiden Amerika Donald Trump menyelit kertas doa beliau di Tembok Ratapan pada 22 Mei 2017.
LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts