LONDON, 25 Nov 2018 — Mantan Menteri Perang Zionis, Avigdor Lieberman, Jumaat lalu menyatakan beliau tidak bersetuju dengan tambahan bantuan senilai US$15 juta disumbangkan oleh kerajaan Qatar untuk Gaza.

Lieberman bersama beberapa orang anggota dari partinya menyatakan kemarahan berkaitan hal tersebut ketika berkunjung ke kawasan penempatan haram Sderot, tidak jauh dari Gaza.

“Semalam dan hari ini, kerajaan “Israel” mengepam lebih banyak minyak Qatar ke Gaza. Bulan depan, mereka akan membenarkan kemasukan tambahan $US15 juta yang dibayar oleh Qatar untuk pekerja Hamas,” kata Lieberman.

Beliau menambah, “Saya melihat ini sebagai suatu yang bodoh. Oleh itu, kita tidak boleh menyerah kepada Hamas dan pemerintahannya.”

“Saya merancang untuk tinggal dengan penduduk di selatan,” ujar beliau dalam usaha menunjukkan dukungan kepada pendatang Yahudi di situ.

“Saya akan membuka pejabat parlimen dalam masa 10 hari di Sderot dan saya akan berada di sini setiap minggu bagi mengubah keadaan semasa dan menghapus rasa takut yang ditimbulkan oleh Hamas di selatan.”

(MEMO)

SHARE