Negara Yahudi Semakin Menjadi Kenyataan?

Sehari selepas rundingan yang penuh simbolik dan retorik di bawah perhatian Presiden Amerika Barack Obama di Washington, Benjamin Netanyahu dan Mahmoud Abbas masing-masing terus berkeras mempertahankan tuntutan-tuntutan mereka.

“Kami berharap kamu sedia untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara untuk kaum Yahudi,” kata Netanyahu kepada Abbas ketika mereka berdua duduk di sisi Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton, dengan bendera negara mereka berdiri di belakang masing-masing.

Manakala Abbas menuntut supaya negara haram Israel menamatkan embargo ke atas Gaza dan menghentikan semua perluasan penempatan haram pendatang Yahudi. “Kami menyeru kepada pemerintah Israel supaya bergerak maju dengan komitmen untuk mengakhiri semua kegiatan penempatan haram dan benar-benar menamatkan embargo ke atas Gaza,” kata Abbas.

Rundingan itu kemudiannya menjadi buntu seketika apabila mereka berbahas tentang aktiviti pendatang Yahudi yang membangunkan penempatan baru di Tebing Barat. Israel pernah berjanji untuk membekukan kegiatan itu, yang dijangka akan berkuat-kuasa mulai 26 Septembar akan datang. Malahan Abbas mengancam untuk menarik diri daripada rundingan kecuali jika Israel melanjutkan moratorium.

Abbas pada hari Kamis, 2 September, sekali lagi mengatakan kepada Netanyahu bahawa dia akan menarik diri daripada rundingan jika pembangunan penempatan baru di Tebing Barat diteruskan. “Kami akan cuba yang terbaik, tetapi itu semua akan menjadi sia-sia jika Netanyahu kembali meneruskan penempatan,” penasihat Otoriti Palestin, Nabil Shaath menyatakan kepada Reuters.

Namun Netanyahu dengan tegas telah menolak sebarang kemungkinan untuk melanjutkan moratorium bangunan. Sebelumnya, Netanyahu pernah mengatakan bahawa tidak ada perubahan sikap Israel yang akan memungkinkan mereka membekukan sebahagian daripada pembangunan buat masa ini.

Sikap pemerintah Zionis yang membenarkan pendatang Yahudi merampas tanah rakyat Palestin dan membina penempatan-penempatan haram baru di Tebing Barat jelas menunjukkan usaha dan komitmen berterusan mereka untuk menghapuskan tanah air Palestin. (mn/worldbulletin)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts