TULKAREM, 4 Jan 2015 (ISM) — Di pinggir perkampungan Jubara bersebelahan sebuah sekatan pemeriksaan tentera, tinggal seorang nenek janda berumur 63 tahun, Shawqiye Hamaide, atau lebih dikenali dengan panggilan Umm Youssef, dalam keadaan terasing dari masyarakat Palestin yang lain.

Ibu kepada dua anak perempuan dan nenek kepada enam orang cucu, Umm Youssef sebenarnya berasal dari perkampungan Beit Lid, tetapi kemudian berpindah ke tempat tinggalnya sekarang sejak 35 tahun lalu apabila beliau berkahwin dengan suaminya yang dilahirkan di situ. Kini, setelah suaminya meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu dan kedua-dua anaknya mendirikan rumah tangga, Umm Youssef tinggal berseorangan di tempat terpinggir itu.

Umm Youssef di halaman rumah beliau. Di belakangnya kelihatan sekatan pemeriksaan tentera Jubara
Bulatan berwarna oren menunjukkan kedudukan rumah Umm Youssef (ditanda dengan segitiga hitam) di hujung jalan 557, di hadapan sekatan pemeriksaan (ditanda X), timbunan tanah (titik hitam) dan bersebelahan Tembok Pemisah (garisan merah)

Rumah kediamannya sangat tua dan berada dalam keadaan yang uzur; dengan beberapa keretakan jelas kelihatan di bahagian bumbung dan dinding, di mana air akan mengalir masuk di musim sejuk. Tingkap rumahnya pula hanya mempunyai bidai tanpa kaca, menjadikan rumahnya begitu sejuk di musim sejuk. Kadang-kadang, di musim panas, ular memasuki rumahnya melalui bidai tersebut.

Tompok-tompok cat yang tanggal dari bumbung dan dinding kerana air megalir masuk di musim sejuk
Kesan bocor di merata bahagian rumahnya tetapi Umm Youssef tidak mampu untuk membaiki

Pada tahun 2000, apabila tentera penjajah Zionis mula membina Tembok Pamisah di hadapan rumahnya, beliau telah diugut supaya meninggalkan kediamannya itu dengan alasan pergerakan buldozer memindahkan tanah di situ boleh meruntuhkan rumah tersebut memandangkan ianya sudah sangat tua. Namun walaupun diugut, beliau tetap enggan berpindah. Umm Youssef ingin tetap tinggal di rumah tua itu hingga ke akhir hayatnya dan menghembus nafas terakhir di situ.

Keretakan mula terjadi apabila tentera Zionis menolak tanah di kawasan berdekatan untuk membina Tembok Pemisah

Menurut Umm Youssef, pertempuran sering berlaku di antara tentera Zionis dan para pemuda dari kem pelarian Tulkarem, yang membaling batu dari arah bukit bertentangan rumah beliau, menyasarkan sekatan tentera. Tentera pula membalas tindakan kumpulan pemuda dengan melepaskan tembakan peluru hidup, dan lain-lain jenis senjata. Bahkan tentera Zionis di sekatan tersebut kadang-kadang berlatih dengan melepaskan tembakan ke arah rumahnya. Terdapat tujuh pohon zaitun di halaman rumah Umm Youssef, dan di musim menuai tentera Zionis akan melepaskan tembakan ke arah beliau ketika menuai buah zaitun berseorangan.

Tentera Zionis sering berlatih dengan menembak rumahnya, hingga meninggalkan kesan lubang di dinding

Kehidupan di kawasan yang terdedah dengan kejahatan tentera Zionis ini, dan terpisah dari orang lain, menjadi lebih tertekan sejak dikunjungi oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang penduduk Palestin dari bandar Nazareth hampir setahun lalu. Sambil mendakwa beliau ingin mengahwini seorang wanita dari Tebing Barat, lelaki tersebut membuat tawaran untuk membeli rumah Umm Youssef dengan nilai satu juta shekel. Tahun ini, lelaki tersebut datang lagi sebanyak tujuh kali, dan akhirnya menawarkan bayaran berganda sebanyak dua juta shekel. Namun, bukan sahaja Umm Youssef tidak berminat untuk menjual rumahnya itu, ianya juga agak pelik dan mustahil bagi seseorang untuk membayar harga yang begitu tinggi bagi memulakan hidup berkeluarga di dalam rumah yang begitu uzur.

Akhirnya, prasangka Umm Youssef terhadap lelaki tersebut bahawa beliau seorang Yahudi yang ingin mengambil tanah penduduk Palestin ternyata benar sekali, apabila pada satu hari beliau melihat lelaki tersebut memakai pakaian tentera di sekatan pemeriksaan. Menurut Umm Youssef, lelaki tersebut bersama seorang lelaki lain menukar pakaian awam dan kemudian memandu sebuah kereta ke arah Tulkarem. Umm Youssef mengsyaki mereka adalah sebahagian daripada ejen Shabak atau Mossad.

Menara kawalan tentera dapat dilihat dari halaman rumah Umm Youssef. Rumahnya terletak bersebelahan sekatan pemeriksaan tentera.
Satu lagi sudut pemandangan sekatan pemeriksaan tenera dari beranda rumah Umm Youssef

Ia merupakan satu muslihat dalam projek penjajah Zionis menggunakan pihak ketiga untuk membeli tanah Palestin dan kemudiannya menjual semula kepada penduduk Yahudi, pendatang haram Yahudi ataupun pihak berkuasa rejim sendiri, dalam cubaan mereka untuk terus menjajah dan mengusir penduduk asal keluar.

Oleh itu, keputusan tetap Umm Youssef untuk tidak menjual rumah tuanya itu merupakan tindakan yang sangat penting bagi menyekat penjajahan yang berterusan ke atas tanah Paestin.

Tingkap rumahnya hanya dipasang dengan bidai tanpa kaca, menyebabkan kesejukan di musim sejuk
Bulatan merah menunjukkan kedudukan rumah Umm Youssef yang terasing di sebelah sebuah bukit, berhadapan dengan sebuah sekatan pemeriksaan tentera Zionis

 

SHARE