Pejuang Palestin berjaya patahkan operasi penting tentera Zionis di Gaza

GAZA, 12 Nov 2018 — Kumpulan pejuang Palestin malam tadi berjaya mematahkan operasi penting dan rahsia tentera Zionis untuk menculik komander Briged al-Qassam di Khan Younis, Nour Baroka.

Operasi tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklumat tentang empat orang askar Zionis yang ditawan oleh Briged al-Qassam dalam peperangan tahun 2014. 

Kenyataan Briged al-Qassam menyebut bahawa pemipin kanan mereka di kota Khan Younis, Nour Baroka, berjaya mengesan skuad khas Zionis dari Briged Golani menceroboh masuk sehingga tiga kilometer kawasan timur kota tersebut.

“Nour Baroka mendekati skuad tersebut, bertanyakan beberapa soalan,” sebut kenyataan mereka. “Apabila jelas kepada beliau bahawa mereka adalah pasukan khas tentera Zionis yang menyamar, Nour Baroka terus mengarahkan pasukannya mengepung mereka.”

Kenyataan seorang saksi kepada Days of Palestin menyebut, “Ketika itu, pasukan tentera khas Zionis yang menaiki kenderaan berwarna biru gelap berbalas tembakan dengan Baroka dan anggotanya, dan tiba-tiba dron Zionis melepaskan tembakan roket.”

“Pasukan khas Zionis itu lari. Tapi selepas agak jauh, berdekatan pagar timur kota, kenderaan mereka rosak dan mereka keluar dalam keadaan serangan sengit yang dilancarkan oleh tentera Zionis, dan kemudian menyusup pagar menuju ke pengakalan mereka.”

Baroka bersama enam pejuang lain terbunuh.

Kenyataan media Zionis menyebut bahawa pasukan khas Briged Golani cuba menjalankan satu operasi yang sangat penting bagi keselamatan rejim penjajah. Mereka turut mengesahkan seorang anggota kanan tentera Zionis terbunuh, namun merahsiakan identiti beliau atas sebab-sebab kselamatan.

Pemimpin kanan tentera Zionis mengaku bahawa mereka tidak mahu ketegangan di Gaza berlanjutan, dan media melaporkan pihak Mesir sedang cuba memujuk kumpulan-kumpulan pejuang Palestin.

Ramai penganalisa tentera Zionis kesal dengan Briged Golani, dan mendakwa mereka “hanya pandai membuat kegagalan.”

Laporan tentera Zionis menyebut, “Ini merupakan operasi paling rumit pernah dilakukan oleh pasukan khas tentera dan anggota yang terbunuh dalam operasi itu adalah paling senior di kalangan mereka sejak 2014.”

Nour Baroka
Malam sebelum kejadian, Nour Baroka mengimamkan solat jenazah Syahid Wesam Hijazi. Beliau berkelulusan Masters dalam bidang Figh dari Universiti Islam Gaza.
Tentera udara Zionis memusnahkan kenderaan Briged Golani selepas gagal dalam operasi mereka, bagi menghapuskan bukti-bukti rahsia operasi tersebut.

(DoP)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts