Pendatang Yahudi cuba bakar Kubah as-Sakhra’

BAITULMAQDIS, 8 Okt 2018 — Peningkatan serangan serta pencerobohan Yahudi ke atas perkarangan Masjid al-Aqsa khususnya di sekitar Kubah as-Sakhra’ semakin membangkitkan konspirasi mereka merealisasikan impian untuk membina “Kuil Ketiga” di atas tapak suci itu.

Dengan memastikan supaya tiada para jemaah dan pekerja Jabatan Wakaf di perkarangan tapak suci, rejim Zionis cuba mewujudkan suasana yang kondusif bagi pendatang dan fanatik Yahudi melakukan ritual dan melaksanakan rancangan rahsia mereka ke atas Masjid al-Aqsa.

Buat julung kalinya sejak minggu lalu, penjaga-penjaga Masjid al-Aqsa telah mengesan objek yang terbakar dan bergerak mengarah ke Kubah as-Sakhra’, yang dibakar dari kawasan Tembok al-Buraq.

Siasatan penjaga-penjaga al-Aqsa mendapati objek tersebut adalah belon api yang dilancarkan dari Tembok al-Buraq menuju ke Kubah as-Sahkra’.

Inilah buat pertama kali belon-belon api diterbangkan ke kawasan-kawasan yang dilindungi di Baitulmaqdis. Dalam insiden lain yang juga baru berlaku, pesawat-pesawat dron digunakan untuk mengambil gambar Kubah as-Sakhra’ dan Masjid al-Aqsa.

Namun, ini bukanlah kali pertama Masjid al-Aqsa menjadi sasaran untuk dibakar oleh pendatang Yahudi.

Pada 21 Ogos 1969, seorang fanatik Yahudi dari Australia, Denis Michael Rohan, menceroboh masuk Masjid al-Aqsa melalui Pintu al-Guanameh dan membakarnya.

Dalam kejadian tersebut, api merebak di sayap timur musolla di selatan Masjid al-Aqsa. Kebakaran merebak ke ruangan pintu masuk utama masjid, bumbung, permaidani, ukiran-ukiran, perabot dan juga naskah-naskah al-Quran.

Kebakaran turut melanda mimbar masjid, yang dibawa oleh Salah al-Din dari kota Aleppo apabila tentera Islam membebaskan kota Baitulmaqdis pada tahun 1187. Mimbar tersebut diukir dengan hiasan yang unik, di mana pembinaannya diarahkan oleh Sultan Nur al-Din Zanki untuk dihantar ke al-Aqsa selepas masjid itu dibebaskan.

Bahan pembakar telah ditemui ditabur dari dalam dan luar dewan musolla tersebut.

Pengarah Masjid al-Aqsa, Omar al-Kiswani menyebut bahawa insiden mutakhir yang dilakukan oleh pelampau-pelampau Yahudi ini adalah satu insiden sangat bahaya. “Kami telah melaporkan kepada pihak polis Zionis, Kementerian Luar Jordan dan kedutaannya, di samping Jabatan Wakaf Palestin,” kata beliau.

Serangan berterusan semakin meningkat sejak Amerika mengumumkan rancangannya untuk memindahkan pejabat kedutaan dari Tel Aviv ke kota Baitulmaqdis, serta mengisytiharkan kota suci itu sebagai ibukota rejim Zionis.

Rejim Zionis melaksanakan rancangan yang bersepadu untuk memaksa penguasaan mereka ke atas Masjid al-Aqsa, antara lain dengan menghalau para jemaah dan menangkap pekerja-pekerja masjid ketika pelampau-pelampau Yahudi menceroboh masuk.

Kebelakangan ini, lebih 12 pekerja dan penjaga Masjid al-Aqsa dihalau keluar dan diharamkan memasuki tapak suci itu untuk tempoh dari satu hingga lapan bulan.

Antara mereka yang diharamkan mendekati kawasan tapak suci itu adalah Rami al-Fakhouri, Mahmoud Abd al-Latif, Jihad Qaws, Rawhi al-Qulagasi, Raed al-Zaghir, Abu al-Thaer dan Shadi Matar. Mereka diharamkan memasuki al-Aqsa selama enam bulan.

Manakala Hamza al-Zaghir, Hussam Sidr, Mu’min Hashim, Jamil al-Abbasi dan Yacoub al-Dabbagh tidak boleh memasuki tapak suci itu selama tiga bulan.

Omar al-Kiswani menyeru penduduk Islam meningkatkan keberadaan mereka di Masjid al-Aqsa untuk menghalang pencerobohan. Beliau menegaskan bahawa bersolat dan berada di perkarangan Masjid al-Aqsa merupakan antara cara untuk bertahan dan melawan serangan rejim Zionis ke atas Masjid al-Aqsa.

Menurut Pusat Kajian Yahudi dan Palestin Baitulmaqdis, pencerobohan pendatang Yahudi meningkat sepanjang bulan Ogos 2018. Seramai 2,841 orang termasuk pegawai perisikan, anggota tentera dan pelajar-pelajar agama Yahudi telah menceroboh masuk.

Manakala seramai 41,206 pelancong dibawa masuk ke Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ogos.

Pada pertengahan Ogos, pasukan keselamatan Zionis menceroboh masuk perkarangan Masjid al-Aqsa dan menangkap enam orang Muslimat. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan syarat diharamkan memasuki tapak suci itu.

Rejim Zionis terus memberi tekanan ke atas puluhan penduduk Baitulmaqdis daripada memasuki Masjid al-Aqsa, dengan menyenarai hitam dan mengharamkam mereka memasuki Kota Lama Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts